PEISB sumbang RM20,000 raikan anak-anak yatim sambut Syawal | DagangNews Skip to main content

 PEISB sumbang RM20,000 raikan anak-anak yatim sambut Syawal

Sumbangan bakul makanan daripada PEISB yang disampaikan kepada 22 orang penerima di Masjid Ar Rahman Manjoi.
oleh ZAKI SALLEH

IPOH 17 April - Bagi berkongsi kegembiraan menyambut kedatangan Syawal, syarikat konsesi Puncak Emas Infra Sdn. Bhd. (PEISB) meraikan 50 orang anak-anak yatim pada majlis berbuka puasa di Dewan Serbaguna Taman Meru di sini.

 

Mereka merupakan penghuni daripada lima buah rumah kebajikan di bandar ini.

 

Antaranya ialah Pertubuhan Kebajikan Kasih Nurul-Ilman, Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim dan Miskin ArRidwani, Pusat Jagaan Anak Yatim Yassin, Pertubuhan Baitul Mubaroqah dan Pertubuhan Yayasan Bakti Gunung Keledang.

 

Pengurus Besar PEISB, Saiful Azzuan Aznam berkata, majlis tahunan itu untuk menggalakkan kakitangan syarikat berbuka puasa bersama dengan anak-anak yatim sekali gus mengakrabkan hubungan.

 

"Selain itu, majlis ini turut dijadikan sebagai platform untuk berkongsi suasana yang meriah dan kegirangan dalam menyambut bulan Syawal.

 

"Kita memberi duit raya sebanyak RM100 seorang agar mereka dapat sama-sama meraikan kegembiraan untuk beraya," ujarnya.

 

 

peisb
Saiful Azzuan (tiga dari kiri) bersama wakil-wakil pertubuhan dan rumah kebajikan yang menerima sumbangan.

 

peisb
Sebahagian daripada anak-anak yatim menerima duit raya pada majlis berbuka puasa PEISB di Dewan Serbaguna Taman Meru.

 

 

PEISB turut memberi sumbangan kepada setiap pertubuhan dan rumah kebajikan dengan jumlah sebanyak RM2,000. 

 

Keseluruhannya sebanyak RM15,000 bantuan tunai disumbangkan pada majlis iftar tersebut yang turut dihadirii kira-kira 400 kakitangan PEISB.

 

Jelas Saiful Azzuan, sepanjang Ramadan ini juga pihaknya turut mengadakan beberapa program sumbangan yang dilaksanakan di pejabat-pejabat cawangan PEISB.

 

"Misalnya kita menyumbangkan pek Ihya Ramadan kepada golongan asnaf iaitu sebanyak 200 bakul makanan bagi meringankan beban kewangan mereka.

 

"Juga tidak dilupakan ialah petugas barisan hadapan menerusi program sumbangan juadah bersahur kepada anggota Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh, Balai Polis Pekan Baru serta Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh," ujarnya. - DagangNews.com