Pekerja kilang wajib disaring ujian Swab RTK dua kali seminggu - MITI | DagangNews Skip to main content

Pekerja kilang wajib disaring ujian Swab RTK dua kali seminggu - MITI

Oleh JOHARDY IBRAHIM
editor@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 8 Julai - Setiap pekerja kilang wajib disaring dengan ujian Swab RTK sebanyak 2 kali seminggu dan hanya pekerja yang disahkan negatif dibenarkan bekerja, mengikut SOP terbaharu yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, semalam.

 

Perincian SOP itu menetapkan syarikat bertanggungjawab sepenuhnya untuk menanggung sepenuhnya kos saringan tersebut.

 

"Kos pembersihan dan disinfeksi di premis setelah mendapati ada kes positif perlu ditanggung oleh syarikat.

 

"SOP ini perlu dilaksanakan selaras dengan Peraturan-Peraturan di bawah Akta 342 Kementerian
Kesihatan Malaysia," menurut SOP berkenaan.

 

Syarikat-syarikat juga diwajibkan untuk menubuhkan Pasukan Pemantauan COVID-19 (ERT) bagi penyediaan dan pelaksanaan tatacara mengurus kes-kes kecemasan (terdapat jangkitan atau siasatan jangkitan COVID-19). 

 

Pasukan ERT ini boleh dilantik dari kalangan Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Syarikat (JKKP) dan bertanggungjawab:

  • Memastikan pematuhan terhadap SOP yang dikeluarkan oleh MKN; dan
  • Membuat penyelarasan langkah-langkah pencegahan penularan wabak COVID-19 di tempat kerja.

 

iti

 

Agensi kerajaan iaitu MITI, KKM, PDRM, JTK, PBT, JKKP, RELA atau mana-mana pegawai yang diberikan kuasa di bawah Akta 342 dan boleh membuat pemeriksaan pematuhan dan penguatkuasaan pada bila-bila masa.

 

"Berdasarkan kuasa yang diberi, MITI, PDRM dan KKM boleh mengarahkan penutupan premis selama 7 hari dengan serta-merta sekiranya ada pelanggaran terhadap syarat kebenaran beroperasi (pemakaian pelitup muka, bilangan pekerja, penjarakan fizikal, alat pelindung diri, saringan suhu badan dan sebagainya).

 

"Majikan hendaklah sentiasa melakukan hebahan kesedaran penjagaan kesihatan dan kebersihan diri bagi mengelak jangkitan COVID-19.

 

"Orang yang melanggar mana-mana peruntukan Peraturan-Peraturan dan melakukan suatu kesalahan boleh, apabila disabitkan, didenda mengikut nilai dan hukuman yang ditetapkan di bawah Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988)," kata SOP tersebut. - DagangNews.com