Pelabur buru saham berpotensi pulih pasca COVID-19, KLCI mencanak lebih 20 mata | DagangNews Skip to main content

Pelabur buru saham berpotensi pulih pasca COVID-19, KLCI mencanak lebih 20 mata

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 17 Ogos - Nampaknya kemelut politik yang masih lagi mencetuskan teka-teki siapakah Perdana Menteri seterusnya tidak menjejaskan prestasi pasaran saham untuk ditutup jauh lebih tinggi pada petang ini. 

 

Di sebalik prospek ekonomi negara yang dalam masa sama diunjurkan lebih rendah, indeks utama, FBM KLCI masih mampu untuk mencanak 20.69 mata setakat 5 petang, untuk ditutup pada paras 1,523.59.

 

Keseluruhan pasaran tempatan didagangkan positif, apabila jumlah kaunter untung iaitu sebanyak 633 mengatasi hampir dua kali ganda daripada jumlah kaunter rugi, 372 meskipun rata-rata pasaran utama di Asia Pasifik berprestasi negatif.

 

Petang ini, lonjakan FBM KLCI dipacu oleh indeks perladangan minyak sawit, indeks Hijrah, produk perindustrian, perladangan dan hartanah. 

 

Ini seiring ramalan firma penyelidikan, Malacca Securities Sdn Bhd yang menjangkakan sektor-sektor berpotensi pulih selepas pandemik COVID-19 masih menjadi tumpuan susulan pengumuman lebih banyak pembukaan semula sektor tidak perlu.

 

“Kami mendapati sektor berkaitan pengguna, bahan pembangunan dan pembinaan menyaksikan lonjakan dari segi momentum. Selain itu, sektor perladangan juga mungkin menyaksikan peningkatan susulan harga minyak sawit mentah (MSM) yang kukuh,” jelas firma itu.

 

Dalam kalangan kaunter untung, saham Vitrox Corporation Berhad berakhir dengan lonjakan terbesar iaitu 92 sen, untuk ditutup pada paras RM19.90 dengan nilai saham yang didagangkan, RM6.98 juta.

 

Ini diikuti oleh Petronas Dagangan Berhad yang ditutup 54 sen lebih tinggi kepada RM19.44.

 

Turut menerima impak positif itu adalah saham Nestle (Malaysia) Berhad, Carlsberg Brewery Malaysia Berhad, Genting Plantations Berhad dan Hartalega Holdings Berhad.

 

Beralih kepada kaunter paling aktif didagangkan, saham Advance Synergy Berhad berakhir 5 sen lebih tinggi kepada 22.5 sen dan diikuti oleh Malayan United Industries Berhad, Avillion Berhad serta Komarkcorp Berhad.

 

Rata-rata penganalisis menjangkakan peletakan jawatan Perdana Menteri yang diumumkan Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, tidak mendatangkan kejutan besar buat pasaran tempatan. 

 

Namun, mereka tidak menolak kemungkinan ini akan melemahkan keyakinan pelabur terhadap pasaran ekuiti di Bursa Malaysia. - DagangNews.com