Pelaburan RM7.33 bilion bukti keyakinan pelabur terhadap Iskandar Malaysia | DagangNews Skip to main content

Pelaburan RM7.33 bilion bukti keyakinan pelabur terhadap Iskandar Malaysia

Jumlah kumulatif pelaburan yang direkodkan Iskandar Malaysia mencecah RM341.4 bilion sejak 2006. - Gambar hiasan

 

 

JOHOR BAHRU 21 Jun - Penyiapan projek pelaburan bernilai RM7.33 bilion di Iskandar Malaysia antara tempoh Januari hingga April tahun ini mencerminkan petunjuk positif koridor ekonomi itu masih mendapat kepercayaan daripada pelabur.

 

Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Datuk Ismail Ibrahim berkata, 20 peratus daripada pelaburan yang telah siap itu melibatkan pelabur domestik manakala baki 80 peratus daripada pelabur asing.  

 

“Kami berharap keyakinan ini akan berterusan dan menggalakkan pelabur lain untuk melihat rantau ini sebagai platform ideal untuk memula, membina atau mengembangkan perniagaan dan operasi mereka atau membuat persediaan bagi pasca pandemik COVID-19.

 

“Kami amat menghargai sokongan daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan kelulusan projek pembuatan di Iskandar Malaysia dan menantikan projek-projek ini selesai pada tahun ini meskipun cabaran yang ada ketika ini,” katanya dalam kenyataan seperti dilapor Bernama hari ini.
 

Tahun lepas, antara projek yang diluluskan untuk dibangunkan di rantau ini termasuklah projek dari China, Jepun dan Singapura dengan tiga industri utama yang diluluskan adalah peralatan pengangkutan, eletrik dan elektronik dan mesin dan peralatan. 

 

Ismail berkata, keseluruhannya, jumlah kumulatif pelaburan yang direkodkan Iskandar Malaysia mencecah RM341.4 bilion sejak 2006 dengan 61 peratus daripadanya berjaya disempurnakan setakat ini.

 

Menurutnya, koridor ekonomi itu akan terus diketengahkan  sebagai destinasi pelaburan pilihan bagi pelabur yang mahu memula, membina semula atau mengembangkan perniagaan dan operasi mereka semasa dan selepas pandemik dengan mengambil beberapa inisiatif yang boleh membantu pelabur ini memulakan kepentingan mereka di rantau ini dengan segera.

 

Mengenai penerokaannya dalam bidang perladangan moden, beliau berkata, pelabur dan rakan kongsi dialu-alukan untuk menjalin kerjasama dalam membangun, memacu dan meraih manfaat daripada inisiatif perladangan moden, didorong oleh keperluan bagi menambah baik jaminan makanan dan permintaan besar terhadap bekalan makanan bagi negara ini dan negara jiran, Singapura. - DagangNews.com