Pelajar UPM bantu sekolah kebangsaan di Sabah ternak udang kara air tawar dengan teknologi ASB  | DagangNews Skip to main content

Pelajar UPM bantu sekolah kebangsaan di Sabah ternak udang kara air tawar dengan teknologi ASB 

Prof Dr Arifin, Awang Ghani bersama pelajar UPM dan guru Sekolah Kebangsaan Tobobon, Menggata' di Sabah.

KOTA KINABALU 30 Ogos - Sekumpulan pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan program pemindahan ilmu mengenai amalan terbaik menternak udang kara air tawar dengan sekolah kebangsaan yang pertama di Sabah menternak udang spesis tersebut.

 

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPM, Prof. Dr. Arifin Abdu berkata, pelajar UPM berkolaborasi dengan guru Sek Keb Tobobon, Menggatal di sini dalam teknologi advanced semi biofloc (ASB) dalam ternakan udang kara  selama empat bulan. 

 

Menurut beliau, teknologi ASB hasil penyelidikan oleh pelajar UPM dan sekolah ini telah dijalankan selama empat bulan dari segi rawatan air, spesifikasi saiz kolam, ternakan bakteria baik, mineral penting dan pengudaraan air agar ternakan udang kara air tawar sihat dan mencapai tumbesaran yang dikehendaki. 

 

“Saya yakin jika projek sulung ini berjaya, model ini akan dikembangkan ke sekolah sekolah lain selepas ini supaya pelajar UPM boleh memindahkan ilmu bersama komuniti seperti yang dihasratkan oleh Menteri Pendidikan Tinggi Dato Seri Khaled Nordin,” katanya. 


 

UPM
Prof Dr Arifin (kiri) dan Awang Ghani melepaskan udang kara air tawar di Sekolah Kebangsaan Tobobon, Menggata' di Sabah.

 


Prof. Dr Arifin berkata universiti membentuk mahasiswa menjadi pemimpin pelapis yang prihatin dan cakna terhadap permasalahan komuniti melalui pemindahan ilmu dan khidmat komuniti untuk  menjayakan kerangka Ekonomi MADANI. 

 

Katanya sebelas pelajar UPM yang terlibat diwakili oleh Majlis Perwakilan Luar Kampus UPM dan Majlis Perwakilan Pelajar UPM dengan kerjasama Bahagian Perumahan dan Penempatan (BPP) UPM. 

 

Sementara itu, Guru Besar Sek Keb Tobobon, Awang Ghani Awang Bakar berharap kolaborasi UPM dapat membantu pihak sekolah yang mempunyai masalah dari segi penyakit dan tumbesaran ternakan. 

 

“Saya juga bersyukur kerana khidmat komuniti daripada Bahagian Perumahan dan Penempatan (BPP) UPM telah sudi memilih sekolah kami untuk membaikpulih kolam ternakan udang kara dari segi spesifikasi yang sesuai,” katanya. 

 

Ketua BPP,  Mohamed Shukri Mohamed Noor yakin kepakaran UPM dalam penternakan akuakultur dan pertanian mampu membantu komuniti lain di Sabah dengan lebih luas lagi. 

 

"Sebuah kolam udang kara seluas  20 x15 kaki ini boleh meletakkan benih udang sebanyak 1,000 ekor. Hasil ternakan yang dewasa pula boleh mencapai berat 50kg," katanya. - DagangNews.com