Peluang ke Jelajah Dunia Akhir BWF masih ada - Aaron | DagangNews Skip to main content

Peluang ke Jelajah Dunia Akhir BWF masih ada - Aaron

 

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 12 Nov - Pasangan beregu lelaki No.1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik percaya mereka masih berpeluang untuk melayakkan diri ke aksi Jelajah Dunia Akhir Persekutuan Badminton Dunia (BWF) yang menawarkan hadiah keseluruhan AS$1.5 juta.

 

Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu bagaimanapun perlu melayakkan diri sekurang-kurangnya ke suku akhir dalam dua kejohanan iaitu Indonesia Masters dan Terbuka Indonesia untuk mencerahkan laluan mereka ke kejohanan akhir musim yang akan berlangsung di Bali itu.

 

Berdasarkan kepada kedudukan semasa, Aaron-Wooi Yik berada di rangking ke-14 akhir musim itu di kedudukan kelapan untuk mencerahkan laluan.

 

"Peluang masih ada tetapi kami tidak mahu memberikan tekanan kepada diri sendiri. Sudah pasti kami akan mempamerkan prestasi terbaik untuk menghasilkan keputusan positf dalam kedua-dua kejohanan itu.

 

"Kami perlu sekurang-kurangnya berada di suku akhir tetapi sekiranya dapat mara lebih daripada itu adalah lebih baik," kata Aaron.

 

Lapan pasangan terbaik dunia dalam ranking Jelajah Dunia Akhir akan beraksi di kejohanan yang akan berlangsung bermula 1 hingga 5 Disember ini.

 

Sebelum itu pasangan negara itu akan beraksi di Indonesia Masters pada 16 hingga 21 November ini manakala Terbuka Indonesia berlangsung pada 23 hingga 28 November.

 

Mereka yang juga naib juara All England 2019 pernah melayakkan diri sebanyak dua kali berturut-turut di Jelajah Dunia Akhir bermula edisi 2019 dan 2020.

 

Pada 2019 mereka terkandas di peringkat kumpulan dengan menduduki tempat ketiga, manakala tahun berikutnya di tangga keempat dengan kedua-dua edisi itu mereka mencatat satu kemenangan dan dua kekalahan.-DagangNews.com