Pelupusan hutang Felda telah dilaksana Muhyiddin semasa menjadi PM | DagangNews Skip to main content

Pelupusan hutang Felda telah dilaksana Muhyiddin semasa menjadi PM

KUALA LUMPUR 8 Julai - Tan Sri Muhyiddin Yassin menolak kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menuduhya tidak melaksanakan pelupusan hutang peneroka FELDA dan menyifatkan dakwaan itu sebagai `pembohongan besar'.

 

Presiden Bersatu itu menjelaskan bahawa pelupusan hutang peneroka FELDA telah pun dilaksanakan ketika beliau menjadi Perdana Menteri.

 

"Hal ini disahkan sendiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam jawapan di Parlimen pada 23 Februari 2023 di mana pelupusan hutang peneroka FELDA telah dilaksanakan pada tahun 2021.

 

"Namun, oleh kerana kekangan aliran tunai FELDA,   kerajaan PH-BN tidak dapat melaksanakan pelupusan hutang peneroka secara berterusan," kata beliau dalam hantaran menerusi laman facebook rasminya hari ini.

 

Susulan itu, mantan Pengerusi FELDA, Tan Sri Idris Jusoh juga telah membuat kenyataan pada 24 Februari 2023 bahawa pelupusan hutang peneroka FELDA berjumlah RM8.3 billion telah selesai dilaksanakan pada tahun 2021.

 

"Saya bukan jenis manusia yang suka berbohong dan tidak mengotakan janji. Yang suka berbohong dan tidak menunaikan janji ialah Anwar Ibrahim.

 

"Dengan pembohongan yang terbaharu ini, semakin jelas Anwar Ibrahim bukanlah seorang yang layak untuk kekal menjadi Perdana Menteri," kata Muhyiddin. - DagangNews.com