Pemain pertahanan Melaka naik helikopter untuk aksi Piala Malaysia malam ini | DagangNews Skip to main content

Pemain pertahanan Melaka naik helikopter untuk aksi Piala Malaysia malam ini

 

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 26 Nov - Pertahanan Melaka United, Akmal Md. Zahir terpaksa diterbangkan ke Melaka daripada Sugai Siput menggunakan helikopter bagi berdepan saingan separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Hang Jebat, malam ini.

 

Melaka United akan membuat perhitungan dengan KL City sekali lagi selepas terikat 1-1 dalam aksi pertama di Kuala Lumpur, Isnin lalu.

 

Menerusi perkongsian di Facebook Melaka United FC, Akmal dan pasangannya selamat mendarat di Padang 10 Wisma MUSA, Kompleks Sukan Hang Jebat sekitar jam 2.50 petang selepas dinikahkan.

 

"Penerbangan ini bagi memastikan Akmal dapat kembali ke pangkuan pasukan menjelang aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia 2021 menentang KL City FC di Stadium Hang Jebat, malam ini," kata pasukan itu.

 

Melaka United yang kini berkelebihan dari segi jaringan tempat lawan mempunyai peluang terbaik untuk menamatkan penantian 100 tahun beraksi di pentas akhir Piala Malaysia buat kali pertama.

 

Sementara itu, ketua jurulatih Melaka United, Zainal Abidin Hassan mengesahkan pemain tengahnya, S Kumaahran terpaksa diketepikan dalam aksi separuh akhir kedua, malam ini susulan masalah kecederaan.

 

Kecederaan hamstring yang dialami Kumaahran ketika bertemu KL City pada Isnin lalu masih membelenggu dirinya dan satu pertukaran bakal dibuat oleh Zainal untuk aksi penentuan ke final.-Dagangnews.com