Pembekalan vaksin Sputnik V dijangka pacu pendapatan FY21 Duopharma Biotech | DagangNews Skip to main content

Pembekalan vaksin Sputnik V dijangka pacu pendapatan FY21 Duopharma Biotech

Pembekalan vaksin Sputnik V

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 23 Feb. - Perjanjian pembekalan vaksin COVID-19 yang dikenali sebagai 'Sputnik V' dengan kerajaan Malaysia dijangka menjadi penyumbang kepada pendapatan Duopharma Biotech Berhad (Duopharma Biotech) bagi tahun kewangan 2021.

 

CGS-CIMB Research berkata, perkara tersebut seiring dengan jangkaan terhadap pemulihan sektor penjagaan kesihatan awam dan swasta pada tahun kewangan 2021.

 

"Kami jangkakan permintaan penjagaan kesihatan awam dan swasta akan kembali pulih pada tahun kewangan 2021 seiring dengan pemulihan lawatan pesakit.

 

"Ia disokong oleh tempoh kontrak bagi pembekalan produk farmaseutikal dan bukan farmasi kepada pusat kesihatan kerajaan yang masih berterusan hingga 31 Disember 2021.

 

"Kami juga mengharapkan sumbangan pendapatan daripada perjanjian pengedaran vaksin Sputnik V mulai suku kedua tahun kewangan 2021 yang merupakan sebahagian daripada usaha vaksinasi kerajaan," jelas CGS-CIMB Research.

 

Duopharma Biotech baru-baru ini memeterai Perjanjian Terma Asas dengan kerajaan Malaysia  untuk membekalkan 6.4 juta dos vaksin COVID-19 yang dikenali sebagai Sputnik V yang  dibangunkan oleh Institut Penyelidikan Epidemiologi dan Mikrobiologi Kebangsaan Gamaleya (Gamaleya). 

 

Syarikat tersebut telah menandatangani Perjanjian Terma Asas dengan Russian Direct Investment Fund (RDIF) untuk mendapatkan 6.4 juta dos 'Sputnik V'. 

 

RDIF ialah agen pemasaran yang dilantik oleh Gamaleya untuk semua pasaran antarabangsa. 

 

Bekalan tersebut tertakluk kepada termeterainya perjanjian bekalan muktamad antara RDIF dan Duopharma Biotech dan antara kerajaan dan Duopharma Biotech, di samping kelulusan vaksin oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) Malaysia.

 

Bekalan vaksin itu dijangka memberikan sumbangan positif kepada pendapatan masa hadapan Kumpulan Duopharma Biotech bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021.

 

Baca: Untung sebelum cukai 4Q20 Duopharma Biotech meningkat 47% kepada RM20.47 juta

 

Dalam pada itu, CGS-CIMB Research menurunkan ramalan jangkaan perolehan sesaham (EPS) bagi tahun kewangan 2021 hingga 2022 sebanyak 1.7% hingga 4.2% selepas mengambil kira kos pengedaran vaksin COVID-19 yang lebih tinggi.

 

"Kami kekalkan saranan 'pegang' saham Duopharma Biotech dengan harga sasaran sesaham (TP) yang lebih rendah iaitu RM3.67," ujar CGS-CIMB Research. - DagangNews.com