KUALA LUMPUR 15 Mac - Pelabur asing masih menjadi pelabur utama dalam pasaran ekuiti Malaysia minggu berakhir 12 Mac dengan membeli ekuiti sebanyak RM240.71 juta.
Walaupun, pelabur asing muncul pembeli bersih buat minggu kedua berturut-turut, tetapi aliran masuk bersih menurun berbanding RM285.83 juta bagi minggu sebelumnya.
Menurut MIDF Research, apabila pasaran dibuka pada Isnin, pelabur asing menjual RM62.93 juta ekuiti tempatan manakala pelabur runcit dan tempatan masing-masing membeli sebanyak RM48.95 juta dan RM13.98 juta.
"Setiap hari pelabur asing menjadi pembeli bersih kecuali Isnin dan Jumaat minggu lalu.
"Ini disebabkan pembukaan semula aktiviti ekonomi dengan lebih banyak sektor beroperasi termasuk industri hiburan dan juga penurunan jangkitan baharu COVID-19 di Malaysia," katanya dalam laporan aliran dana mingguan hari ini.
Sehingga setakat ini, jualan ekuiti pelabur asing adalah lebih rendah berbanding tahun lalu, sebanyak RM1.17 bilion.
"Untuk tempoh sama pada 2020, pelabur asing menjual sebanyak RM5.21 bilion ekuiti," tambahnya.
Bagi pelabur runcit, mereka menjadi pembeli bersih setiap hari kecuali Selasa dengan pembelian paling banyak direkodkan pada Jumaat sebanyak RM74.73 juta dan paling rendah, RM4.8 juta pada Khamis.
Sementara itu, pelabur institusi muncul penjual bersih setiap hari kecuali Isnin dan Jumaat.
"Penutupan dagangan bercampur-campur direkodkan selepas menunjukkan corak jualan bersih dalam tempoh 5 minggu tahun ini," jelasnya.
Secara kumulatif, aliran keluar mingguan berjumlah RM424.04 juta manakala jualan bersih paling banyak direkodkan pada Rabu, RM191.37 juta dan terendah pada Selasa, RM110.93 juta.
Menurut firma itu, sebagai perbandingan dalam 3 pasaran Asia Tenggara di bawah liputannya, Malaysia dan Thailand merekodkan aliran masuk bersih minggu lalu.
Dari segi penyertaan, nilai purata dagangan harian (ADTV) pelabur runcit dan institusi meningkat 3.26% dan 6.92% manakala pelabur asing menyusut 22.37%. - DagangNews.com