KUALA LUMPUR 10 Nov - Pemegang saham 48.26% di dalam U Mobile, Straits Mobile Investment Pte Ltd yang dimiliki sepenuhnya oleh firma Singapura, ST Telemedia bersetuju dengan satu penyelarasan strategik bagi mengurangkan pemilikan saham kepada 20 peratus untuk meningkatkan peratusan pemilikan tempatan.
Persetujuan tersebut diumumkan oleh U Mobile dalam kenyataan di sini hari ini, sambil menegaskan komitmennya kepada kerjasama dengan entiti tempatan.
Menurut syarikat tersebut, U Mobile bersedia untuk menerajui rangkaian 5G kedua sejajar dengan keutamaan negara, melalui pengukuhan penglibatan dan penyertaan syarikat tempatan dalam infrastruktur telekomunikasi yang kritikal.
"Walaupun pemilikan oleh syarikat asing dalam sektor telekomunikasi merupakan perkara biasa, namun strategi U Mobile mengutamakan pertumbuhan ekonomi dan pengukuhan pemilikan oleh entiti tempatan.
"Peningkatan pemilikan tempatan ini menyokong dedikasi U Mobile kepada kepentingan negara," katanya.
Kenyataan itu menambah, dengan rekod prestasi melebihi 17 tahun dalam inovasi, pertumbuhan dan pengembangan rangkaian, U Mobile yakin akan dapat melancarkan 5G yang pantas dan cekap kos untuk Malaysia.
Ia berkata, sebagai syarikat telekomunikasi yang paling baharu dan pencabar pasaran kepada industri, jumlah pengguna U Mobile berjaya mencapai sembilan juta orang pelanggan pada penghujung 2023.
"Dengan lebih RM5 bilion dilaburkan dalam infrastruktur rangkaian, U Mobile kini mempunyai lebih 10,000 tapak rangkaian, dan liputan penduduk negara mencapai 95 peratus, setanding dengan rakan industri yang lain. U Mobile disokong oleh tenaga kerja yang terdiri daripada lebih 1,000 rakyat Malaysia," katanya.
Ia berkata, model Rangkaian Borong Tunggal (SWN) diperkenalkan pada 2021, di mana Digital Nasional Berhad (DNB), anak syarikat milik penuh Kementerian Kewangan, dinamakan sebagai pengendali tunggal yang bertanggungjawab mengurus dan menyediakan perkhidmatanrangkaian 5G secara borong kepada semua pengendali rangkaian mudah alih (MNO).
Katanya, dengan mewujudkan rangkaian kedua, Malaysia beralih daripada model bersifat monopoli kepada landskap kompetitif yang menyeluruh.
"Selama ini, persaingan dalam industri telekomunikasi telah membawa kepada perkhidmatan yang lebih baik dan lebih murah kepada pengguna.
"Persaingan juga memaksa syarikat telekomunikasi untuk berinovasi dalam produk dan keupayaan," katanya.
Kejayaan U Mobile boleh dikaitkan dengan beberapa faktor.
Sebagai antara syarikat terbaharu dalam industri dan pencabar pasaran kepada pengendali utama yang lain, U Mobile merupakan pelopor produk dan perkhidmatan mampu milik dalam industri, dengan menawarkan produk serta perkhidmatan yang mempunyai spesifikasi yang sama atau lebih baik, tetapi pada pengurangan harga sebanyak 20 hingga 25 peratus di bawah standard pesaing.
Ini merupakan pendekatan yang masih dilaksanakan oleh U Mobile sehingga hari ini. - DagangNews.com