Pemberian pinjaman bank dijangka lebih perlahan menjelang 4Q20 | DagangNews Skip to main content

Pemberian pinjaman bank dijangka lebih perlahan menjelang 4Q20

Sektor Perbankan

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 2 Okt. - CGS-CIMB Research menjangkakan jumlah pemberian pinjaman industri perbankan lebih perlahan menjelang suku keempat 2020.

CGS-CIMB Research berkata, jangkaan tersebut dibuat kerana situasi pembayaran balik pinjaman yang lebih tinggi berikutan berakhirnya tempoh moratorium pada 30 September 2020.

"Jumlah pemberian pinjaman industri perbankan berkembang sebanyak 2.8% pada lapan bulan pertama 2020 dengan pertumbuhan tahunan sebanyak 3.6% bagi tahun kewangan 2020.

"Bagaimanapun, perkara ini selaras dengan unjuran pertumbuhan pemberian pinjaman kami sekitar 3% untuk 2020 kerana kami menjangkakan momentum pemberian pinjaman akan lebih perlahan pada suku keempat 2020," kata CGS-CIMB Research.

Tambahnya lagi, jangkaan tersebut juga dinilai berdasarkan dua sebab utama iaitu;

  • Pembayaran balik pinjaman yang meningkat pada suku keempat 2020 susulan berakhirnya moratorium pinjaman pada 30 September 2020.
  • Penurunan kadar permohonan dan kelulusan pinjaman sebanyak 13% hingga 14% pada Ogos 2020 berbanding tahun sebelumnya.

 

Bagaimanapun, CGS-CIMB turut menjangkakan jumlah pemberian pinjaman industri perbankan akan kembali pulih kepada 4% hingga 5% pada tahun kewangan 2021.

Jangkaan itu dinilai berdasarkan kepada ramalan pemulihan ekonomi bersama pertumbuhan KDNK yang diunjurkan 7.5%.

CGS-CIMB Research turut mengekalkan penarafan 'overweight' terhadap industri perbankan berdasarkan kepada jangkaan pemulihan pendapatan pada tahun 2021.

"Pilihan kami untuk sektor ini adalah Public Bank, Hong Leong Bank, RHB Bank dan AMMB (Ambank Group Berhad)," ujar CGS-CIMB Research. - DagangNews.com