SHAH ALAM 14 Mac - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menjangkakan pembukaan Fasa 1 Projek Transit Aliran Massa (MRT2) laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya akan merancakkan sektor ekonomi sampingan kepada semua pihak.
Baginda bertitah, projek yang bermula dari Damansara ke Stesen Kampung Batu dijangka siap selewat-lewatnya April depan.
"Beta sangat berharap pelaksanaan projek ini tidak menimbulkan kesan atau bencana lebih teruk dan mengganggu kehidupan rakyat yang terpaksa menanggung akibat untuk tempoh lama.
"Oleh itu, suka beta ingatkan supaya semua pihak yang terlibat sama ada di peringkat Persekutuan atau negeri perlu memastikan kerja-kerja dijalankan dengan teratur serta disempurnakan dengan baik," titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika Istiadat Pembukaan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor bagi tahun 2022 di Dewan Negeri Selangor, di sini hari ini.
Sultan Sharafuddin Idris Shah juga sukacita Selangor mencatatkan nilai pelaburan berjumlah RM5.96 bilion daripada 182 projek perkilangan yang diluluskan sejak Januari hingga September tahun lalu.
Menurut baginda, jumlah projek itu merupakan yang tertinggi berbanding negeri lain dengan 12,226 potensi peluang pekerjaan.
Titah baginda, pencapaian tersebut mampu dicapai menerusi inisiatif kerajaan Selangor melalui penganjuran Selangor International Business Summit (SIBS) oleh Invest Selangor Berhad.
"Objektif penganjuran program ialah mempromosikan Selangor sebagai Hab Perdagangan Global di rantau ASEAN dan memberi peluang kepada syarikat tempatan dan asing untuk mempamerkan produk dan perkhidmatan mereka.
"Program itu turut memberi peluang menjalin kerjasama perniagaan bagi menjadikan negeri Selangor sebagai destinasi pelaburan," titah baginda.
Pada Januari lalu, Sultan Sharafuddin memberi perkenan pembukaan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor bagi Penggal Ke-14 bagi tahun 2022 yang dijadualkan berlangsung selama dua minggu bermula 14 Mac.
Speaker DUN Selangor, Ng Suee Lim berkata, pembukaan sidang DUN kali ini akan dilaksanakan dengan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19 yang ketat. - DagangNews.com