KUALA LUMPUR 9 Mac – Langkah kerajaan membuka semula sempadan antarabangsa termasuk kuarantin mandatori mulai 1 April ini, menjadikan sasaran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 5.5% hingga 6% menjadi lebih realistik.
Pengerusi Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA), Datuk William Ng berkata, pihaknya menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai perkara itu.
Beliau berkata, pembukaan semula sempadan akan membantu pemulihan ekonomi negara.
''Ekonomi kita berkembang pada kadar 3.1% tahun lepas berbanding penurunan 5.6% pada 2020. Ini ekoran penutupan berpanjangan ditambah pula dengan penutupan berterusan sempadan negara.
''Dengan penarikan balik sekatan seperti kuarantin mandatori, sasaran pertumbuhan KDNK 5.5 - 6.0 peratus untuk 2022 menjadi lebih realistik,’’ katanya dalam kenyataan di sini.
Selain sektor pelancongan kata Ng, semua PKS dari industri lain turut akan mendapat manfaat dari pembukaan sempadan melalui fasilitasi perdagangan dan perniagaan yang lebih teratur.
Menurutnya, pada 20 Februari lalu, SAMENTA menggesa pembukaan semula sempadan dan peralihan ke fasa endemik secara secepat mungkin.
''Kami sukacita bahawa tarikh untuk kedua-duanya sudah pun diumum hari ini.
''Ini adalah isyarat jelas bahawa negara tidak akan kembali kepada ketidaktentuan seperti sebelum ini dan iklim perniagaan yang sukar seperti yang dialami semasa pelbagai perintah kawalan pergerakan pada tahun 2020 dan 2021,’’ katanya.
''Pemulihan PKS masih lagi terjejas. Pengumuman hari ini dapat membantu menyokong pemulihan PKS, tetapi lebih banyak bantuan dalam bentuk pembiayaan automasi dan pra-penghantaran akan diperlukan kerana produktiviti yang lembap dan kekangan aliran tunai kekal sebagai cabaran utama bagi PKS di seluruh negara,’’ ujarnya.
Dibentuk pada tahun 1986, SAMENTA adalah persatuan untuk perusahaan kecil dan sederhana yang tertua di Malaysia. – DagangNews.com