Pembuktian konsep blok rantai pasaran bon Labuan selesai - Bursa Malaysia | DagangNews Skip to main content

Pembuktian konsep blok rantai pasaran bon Labuan selesai - Bursa Malaysia

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 3 Dis. - Bursa Malaysia Berhad (Bursa Malaysia) telah berjaya melengkapkan pembuktian konsep (POC) bon blok rantai bagi pasaran di Labuan Financial Exchange (LFX).

 

Usaha itu dijalankan dengan kerjasama syarikat teknologi kewangan (fintech) dari Singapura, Hashstacs Pte Ltd (STACS). 

 

Bursa Malaysia dalam sebuah kenyataan berkata, POC tersebut direka untuk merangsang pertumbuhan pasaran bon di LFX dengan menggunakan peluang-peluang yang disokong oleh teknologi blok rantai dan tokenisasi aset-aset.

 

Ia dilaksanakan melalui tiga perkaedahan yang berbeza terdiri daripada Dorongan Industri (Industry Driven), Bersandar-Tangkas (Lean-Agile) dan Interaksi Teknologi (Technology Interaction). 

 

Kata Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Ummar Swift, perkongsian pihaknya dengan pemain-pemain industri dan badan-badan kawal selia menunjukkan bahawa teknologi blok rantai boleh meningkatkan kecekapan, ketelusan dan kepercayaan yang membawa kelebihan kepada pasaran bon.

 

“Kami amat berpuas hati dengan penyelesaian peringkat permulaan POC tersebut. 

 

“Ini adalah nilai-nilai yang kami jamin dalam usaha kami untuk membangunkan pasaran yang menarik dan rancak,” katanya dalam kenyataan sama. 

 

POC tersebut telah berjaya menunjukkan bahawa bon digital boleh diterbitkan dan diuruskan ke dalam blok rantai.

 

Ciri-ciri teknologi itu sebagai sumber tunggal yang telus, kontrak-kontrak pintar dan automasi membolehkan perkembangan perkhidmatan-perkhidmatan yang baharu.

 

Senada itu, Pengarah Urusan STACS, Benjamin Soh berkata, walaupun terdapat banyak percubaan-percubaan yang dibuat dalam bidang tersebut, usahasama yang berjaya antara pemain industri berpelbagai sangat sedikit. 

 

“Bersandarkan kepada pengalaman kami dalam bidang teknologi pasaran kewangan, kami amat berbangga kerana dapat bekerjasama dengan Bursa Malaysia, sebuah pasaran saham nasional yang berteraskan inovasi dan yang memaparkan iltizamnya dan kepimpinan ke arah perkembangan teknologi baharu melalui kerjasama ini. 

 

“Bersama-sama kami telah membawa usaha kolektif pelbagai pengamal, para pengawal selia yang berpandangan jauh dan rakan-rakan teknologi canggih bagi meneroka utiliti untuk industri,” ujar beliau. 

 

POC berkenaan merupakan langkah sulung dalam industri tersebut dalam meneroka potensi blok rantai dan aset-aset digital lain. 

 

Selari dengan penyelesaian POC itu, fasa-fasa yang akan datang bakal memupuk lebih banyak kerjasama, pembangunan bersama dan penggunaan teknologi baharu untuk mengembangkan pasaran modal Malaysia dan memperkasa penemuan peluang-peluang yang baharu. 

 

Usaha itu turut dijayakan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Labuan Financial Services Authority, CIMB Investment Bank Berhad, Maybank Investment Bank Berhad dan Cawangan China Construction Bank Corporation di Labuan. - DagangNews.com