NEW YORK 7 Okt. - Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) memberi isyarat bahawa usaha pemulihan daripada pandemik COVID-19 bagi sesetengah negara dan industri mungkin mengambil masa lebih lama berbanding jangkaan awal sebelum ini.
Menurut Bloomberg, pertubuhan utama ekonomi glibak itu dalam semakan semula unjurannya semalam berkata, perdagangan produk global dijangka susut 9.2% tahun ini berbanding 2019, dengan 12.9% penurunan pada April.
WTO juga menganggarkan pertumbuhan perdagangan global tahun hadapan lebih lemah pada paras 7.2%, berbanding unjuran sebelum ini, 21.3%.
Seiring dengan WTO, Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) turut memberi amaran bahawa pemulihan ekonomi kemungkinan akan mengambil masa sekurang-kurangnya setahun atau lebih lama.
"Kami menjangkakan pengeluaran global kekal di bawah unjuran prapandemik bagi tempoh sederhana. Malah, bagi kebanyakan negara, ini akan menghalang peningkatan taraf hidup," jelas Pengarah Urusan IMF, Kristalina Georgieva semalam.
Bagaimanapun, WTO melihat keadaan mungkin semakin buruk sekiranya krisis COVID-19 meningkat dalam beberapa bulan akan datang.
Menurut Ketua Ekonomi WTO, Robert Koopman, dasar fiskal dan monetari banyak membantu meningkatkan pendapatan manakala penggunaan dan import pulih semula apabila perintah kawalan pergerakan semakin berkurangan.
"Eksport negara-negara Asia masih kukuh tetapi untuk memastikannya terus berdaya tahan, ia memerlukan permintaan yang tinggi. Keadaan ini turut bergantung kepada pakej rangsangan kerajaan," katanya.
Perdagangan produk global yang menyusut 14.3 peratus pada suku kedua 2020 adalah paling rendah berdasarkan rekod WTO sejak 2005.
Kejatuhan paling tinggi berlaku di Eropah, yang mana eksport turun 24% dan di Amerika Utara, menyaksikan penyusutan 21.8%. - Dagangnews.com