Pemulihan jualan lonjak untung bersih FY20 BAT | DagangNews Skip to main content

Pemulihan jualan lonjak untung bersih FY20 BAT

British American Tobacco’s (BAT)

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 11 Feb. - Prestasi jualan yang semakin pulih dilihat menjadi pemacu kepada jumlah keuntungan bersih British American Tobacco’s (BAT) bagi tahun kewangan 2020 (FY20).

 

CGS-CIMB Research berkata, ini kerana penjualan BAT pada tahun kewangan tersebut adalah 6% melebihi jangkaan pihaknya.

 

"BAT mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM260.4 juta pada FY20 melebihi jangkaan tahunan penuh kami sebanyak 6% dan 8% yang dibuat konsensus Bloomberg.

 

"Ia didorong oleh penjualan pada tahun kewangan 2020 yang melebihi 6% daripada anggaran kami.

 

"BAT terus mencatatkan pemulihan jualan berturut-turut pada suku keempat 2020 dengan jumlah jualan sebanyak RM660.2 juta dan tertinggi sejak suku keempat 2018," jelas CGS-CIMB Research.

 

Susulan keputusan yang cemerlang pada suku keempat 2020, BAT turut mengumumkan dividen sesaham (DPS) keempat sebanyak 27 sen sekali gus menjadikan DPS bagi tahun kewangan 2020 kepada 83 sen.

 

Pendapatan suku keempat BAT meningkat 5.2% berbanding suku sebelumnya.

 

Keuntungan bersih pada suku tersebut melonjak 22.4% berbanding suku lalu kepada Rm77.7 juta, tertinggi selepas suku pertama 2019.

 

Dalam pada itu, industri tembakau pada hakikatnya mendapat keuntungan susulan berlakunya 'lockdown'.

 

CGS-CIMB Research turut mendapat respon daripada perokok yang memberitahu bahawa kemurungan dan kebosanan menarik mereka yang telah berhenti merokok untuk kembali merokok.

 

Sementara itu, perokok semasa pula dilihat lebih kerap merokok berbanding sebelum penularan wabak.

 

CGS-CIMB Research mengekalkan saranan 'tambah' saham BAT dengan harga sasaran sesaham (TP) bernilai RM18.23. - DagangNews.com