KUALA LUMPUR 8 Sept. - Kerajaan Selangor bakal menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung kes pencemaran sungai di negari berkenaan.
Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, beliau turut membuat pertemuan bersama Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Salim Soib, Pengarah Lembaga Pengurusan Air Selangor (LUAS), Datuk Hashim Osman dan Pengarah Jabatan Alam Sekitar Selangor, Nor Aziah Jaafar bagi membincangkan berkaitan kaedah koordinasi negeri dan persekutuan berhubung undang-undang pencemaran.
"Kerjasama erat antara agensi terutama kerajaan pusat dan kerajaan negeri sangat penting untuk memastikan bekalan air negeri terjamin," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Amirudin menyatakan bahawa Selangor mempunyai kuasa yang terhad untuk memberi hukuman kepada pesalah yang terlibat dalam aktiviti pencemaran sumber air.
Tambahnya, apa-apa bentuk hukuman untuk pesalah hanya terkandung di bawah kuasa kerajaan pusat melalui Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 termasuk kuasa mendakwa yang hanya di bawah bidang kuasa Peguam Negara.
Amirudin juga memberitahu, tiada tindakan diambil Jabatan Penguam Negara selepas kerajaan negeri selesai menyiasat kes pencemaran air pada April lalu.
Bagaimanapun, Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun telah menafikan kenyataan tersebut selain memberitahu perkara tersebut adalah tidak benar dan tidak berasas.
Dalam kenyataan malam tadi, beliau berkata hingga kini Jabatan Peguam Negara tidak pernah dirujuk dengan apa-apa kertas siasatan berhubung kejadian pencemaran air mentah di Selangor.
Pada 3 September lalu, DagangNews.com melaporkan sebanyak 1,292 kawasan di sekitar Lembah Klang, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat mengalami masalah gangguan bekalan air tidak berjadual.
Menurut laporan, ganguan yang berlaku itu disebabkan oleh pencemaran sumber air mentah di Sungai Gong berpunca daripada kegagalan pengurusan sisa buangan sebuah kilang yang didapati beroperasi tanpa lesen sejak 2014. - DagangNews.com