Pendaftaran insentif pengambilan pekerja baharu dibuka hari ini | DagangNews Skip to main content

Pendaftaran insentif pengambilan pekerja baharu dibuka hari ini

KUALA LUMPUR 1 Julai - Kementerian Sumber Manusia menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bersedia menerima permohonan daripada majikan bagi insentif pengambilan pekerja di bawah Program Kerjaya yang mula dibuka hari ini.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Sri M. Saravanan berkata, Program Insentif yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) itu mula dibuka melalui Sistem Penjana Kerjaya, www.penjanakerjaya.perkeso.gov.my. yang menawarkan insentif kewangan kepada majikan antara RM600 dan RM1,000 bagi seorang pekerja atau perantis yang diambil bekerja dalam tempoh enam bulan.


"Kementerian Sumber Manusia menggesa semua majikan yang mempunyai kekosongan jawatan untuk menggunakan platform yang disediakan kerajaan bagi memperoleh insentif pengambilan pekerja tempatan.


"Pencari kerja pula akan dibantu untuk mendapatkan pekerjaan yang sesuai melalui program ini. Inisiatif kerajaan ini bertujuan untuk meningkatkan peluang pekerjaan sekali gus mengurangkan kadar pengangguran," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Pendaftaran profil majikan dan pencari kerja di bawah PenjanaKerjaya yang diuruskan PERKESO telah bermula pada 15 Jun 2020. Sehingga 30 Jun 2020, portal Perkhidmatan Pekerjaan Negara PERKESO, MYFutureJobs mencatatkan 3,088 purata harian pencari kerja dan 2,692 kekosongan jawatan. Ini menjadikan jumlah terkumpul lebih daripada 113,300 pencari kerja dan hampir 95,400 kekosongan aktif (jawatan sedia untuk diisi) yang direkodkan oleh MYFutureJobs.


Jelasnya lagi, insentif pengambilan pekerja ini merangkumi bantuan kewangan untuk majikan yang menggajikan pekerja lepasan sekolah, siswazah, penganggur dan pekerja yang ditamatkan perkhidmatan serta perantis.


Di bawah skim MYApprentice, majikan layak mendapat insentif pengambilan sebanyak RM600 seorang jika menggajikan perantis. Di bawah skim HireMalaysia pula, majikan yang menggajikan penganggur berumur bawah 40 tahun akan mendapat insentif sebanyak RM800 bagi setiap pekerja; manakala mereka yang menggajikan penganggur berumur antara 40 hingga 60 tahun atau Orang Kelainan Upaya (OKU) layak mendapat insentif sebanyak RM1,000 bagi setiap pekerja. Semua insentif ini akan diberikan selama 6 bulan kepada majikan yang layak.


"Selain itu, majikan juga memperoleh manfaat pekerja mahir sekiranya pengambilan dilakukan melalui PenjanaKerjaya kerana kesemua pekerja terbabit boleh dihantar untuk mengikuti kursus kemahiran. 


"Antara kursus yang disediakan adalah IR 4.0, Cloud Computing, Cyber Security, Machine Learning, Logistics, Manufacturing dan pelbagai kursus lain. Bagi pencari kerja yang perlu berpindah dan menerima tawaran pekerjaan di bawah PenjanaKerjaya, mereka akan diberi Bantuan Mobiliti antara RM600 hingga RM1,000," katanya. - DagangNews.com