Pendaftaran Liga Esukan Malaysia (MEL23) kini dibuka | DagangNews Skip to main content

Pendaftaran Liga Esukan Malaysia (MEL23) kini dibuka

PUTRAJAYA 16 Ogos - Esports Integrated (ESI) adalah sebuah inisiatif di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang bertujuan untuk memangkin ekosistem sukan elektronik yang rancak, inklusif dan mampan di Malaysia. ESI akan menganjurkan Liga Esukan Malaysia atau Malaysia Esports League 2023 (MEL23) buat tahun ketiga kali ini.

 

Menurut Kementerian Belia dan Sukan, Liga Esukan Malaysia merupakan salah satu program utama dalam Pelan Strategik Pembangunan Sukan Elektronik KBS 2020-2025 yang menyediakan platform persaingan inklusif untuk bakat-bakat sukan elektronik tempatan.

 

Penganjuran MEL23 adalah sebahagian daripada sirkit kejohanan yang bermula dari peringkat akar umbi iaitu Liga-Liga Negeri dan Peringkat Kebangsaan ke peringkat profesional tempatan iaitu Kejohanan Sukan Elektronik Malaysia (Malaysia Esports Championship atau MEC) dan seterusnya ke pertandingan peringkat profesional anjuran Penerbit Permainan seperti Mobile Legends: Pro League Malaysia dan PUBG Mobile National Championship Malaysia.

 

MEL23 terbahagi kepada dua siri iaitu Liga-Liga Negeri, Peringkat Kebangsaan dan Siri Terbuka akan mempertandingkan tujuh judul permainan iaitu Mobile Legends: Bang Bang (MLBB), Player Unknown’s Battleground Mobile (PUBGM), eFootball Mobile dan Valorant untuk LigaLiga Negeri dan Peringkat Kebangsaan.

 

Manakala Dota 2, eFootball Console dan Tekken 7 akan dipertandingkan untuk Siri Terbuka dengan jumlah hadiah kemenangan terkumpul bernilai RM393,700.00.

 

Pendaftaran MEL23 Peringkat Negeri dan Kebangsaan sudah pun dibuka sehingga 23 Ogos 2023. Pendaftaran boleh dibuat melalui platform rasmi esukan.gg di pautan https://www.esukan.gg/mel23.

 

MEL23 Liga-Liga Negeri akan berlangsung bermula 28 Ogos hingga 5 November, manakala MEL23 Peringkat Kebangsaan akan berlangsung dari 16 Oktober hingga 1 Oktober.

 

Bagi Siri Terbuka, pendaftaran akan dibuka pada 1 Oktober sehingga 26 Oktober. 5. MEL23 anjuran ESI bersama 16 Persatuan Sukan Elektronik Negeri dan Wilayah Persekutuan serta disokong oleh Goodday (Rakan Minuman Rasmi), Rakita 107.9 (Rakan Media), dan Rakan Muda (Rakan Pelaksana).

 

Sebarang pertanyaan mengenai MEL23 boleh hubungi Junaidy AlJohary bin Jamil, Penolong Naib Presiden, Program & Acara Esports Integrated di talian 012-927 3497, emel [email protected] atau layari laman web www.impactintegrated.my.

 

MEL23 adalah sebuah inisiatif anjuran KBS dan ESI bersama-sama dengan 16 Persatuan Sukan Elektronik Negeri dan Wilayah Persekutuan, dan disokong oleh Goodday (Rakan Minuman Rasmi), Rakita 107.9 (Rakan Media), Rakan Muda (Rakan Pelaksana) dan disokong oleh MPL Malaysia.

 

Liga Sukan Elektronik Malaysia atau Malaysia Esports League (MEL) adalah sebuah platform persaingan yang kompetitif untuk bakat-bakat akar umbi tempatan di bawah kelolaan KBS dan Impact Integrated menerusi Esports Integrated (ESI).  - DagangNews.com