Pendapatan Southern Score Builders diunjur berkembang stabil didorong kunci kira-kira yang kukuh - Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Pendapatan Southern Score Builders diunjur berkembang stabil didorong kunci kira-kira yang kukuh - Kenanga Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Ogos - Pendapatan Southern Score Builders Berhad diunjur berkembang dengan stabil, disokong oleh kunci kira-kira dan kadar tempahan yang kukuh.

 

Kenanga Research berkata, kumpulan itu memperoleh margin keuntungan yang kukuh dengan menyumber luar kerja pembinaan kepada subkontraktor yang diyakini dan memperoleh bahan binaan secara pukal (dan selalunya dalam bentuk tunai) pada kadar yang sangat kompetitif.

 

Firma itu berkata, syarikat itu diwujudkan pada November 2022 melalui pengambilalihan terbalik (RTO) G Neptune Berhad oleh kontraktor Kelas G7 milik persendirian Southern Score Sdn Bhd dengan jaminan keuntungan RM80 juta sepanjang 2022 hingga 2024.

 

Katanya, tumpuan utama kumpulan adalah kepada pekerjaan bangunan kediaman bertingkat di Kuala Lumpur dan kerja-kerja awam iaitu jalan dan saliran selain retikulasi air serta kerja pakej pembetungan.

 

Firma itu berkata, buku pesanan tertunggak berjumlah RM638.5 juta sepatutnya memastikan kumpulan itu sibuk dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

 

“Kami mengunjurkan untung berish bagi tahun kewangan 2023 (FY23)/FY24/FY25 sebanyak RM31.4 juta/RM38.3 juta/RM42.4 juta.

 

"Ia mempunyai kunci kira-kira yang kukuh dengan hanya RM5 juta overdraf bank berbanding tunai RM114.5 juta, sebahagiannya hasil daripada RM108.6 juta yang diperoleh daripada penempatan peribadi saham baharu semasa RTO," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Kumpulan itu mencatatkan margin kasar kira-kira 20% berbanding FY19-FY21 dan mencatatkan RTO, 19% hingga 24% antara 1QFY23 dan 3QFY23.

 

Katanya, ia disebabkan model pengurusan pembinaan kumpulan itu.

 

"Ia menyumber luar kerja pembinaan kepada subkontraktor yang boleh dipercayai pada kadar yang sangat kompetitif.

 

"Perolehan bahan binaan secara pukal disokong oleh kunci kira-kira yang kukuh meletakkannya dalam kedudukan yang kukuh untuk mendapatkan diskaun yang ketara daripada pembekal," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga wajar 22 sen sesaham. - DagangNews.com