Penganalisis ekonomi yakin NIMP 2030 mampu meningkatkan tahap ekonomi negara menerusi inovasi, pengeluaran produk bernilai tinggi | DagangNews Skip to main content

Penganalisis ekonomi yakin NIMP 2030 mampu meningkatkan tahap ekonomi negara menerusi inovasi, pengeluaran produk bernilai tinggi

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 1 Sept - Misi utama Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) adalah untuk meningkatkan tahap ekonomi negara dengan menggalakkan inovasi dan pengeluaran produk nilai tambah tinggi yang lebih canggih.

 

MIDF Research berkata, usaha itu merangkumi penciptaan ekosistem domestik yang teguh yang menggalakkan aktiviti kajian serta pembangunan.

 

"Keadaan ekonomi yang lebih tinggi akan meningkatkan daya saing Malaysia dalam pasaran global," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, NIMP 2030 menyasar untuk meningkatkan nilai tambah pembuatan sebanyak 6.5% kepada RM587.5 bilion menjelang 2030, hasil daripada intervensi pelan induk tersebut bagi sektor berimpak tinggi.

 

Sektor berimpak tinggi tersebut termasuklah elektrik dan elektronik (E&E), kimia, kenderaan elektrik, aeroangkasa dan farmaseutikal.

 

BACA JUGA: NIMP 2030: Nilai tambahan pembuatan dijangka berkembang 6.5% kepada RM587.5 bilion - PM Anwar

 

Firma penyelidikan itu berkata, daya saing yang lebih tinggi dalam ekonomi boleh menimbulkan kesan positif ke atas penilaian ekuiti.

 

Katanya, penekanan ke arah meningkatkan ekonomi adalah kepentingan strategik jangka panjang untuk kesejahteraan negara.

 

"Misi ini boleh membantu meningkatkan profil pulangan keseluruhan Malaysia yang secara semula jadi akan memacu penilaian pasaran lebih tinggi dalam jangka panjang. Pada dasarnya, kesan positif ke atas pasaran ekuiti mungkin nyata walaupun dalam tempoh yang panjang," katanya.

 

MIDF Research berkata, pengumuman NIMP 2030 itu dijangka tidak akan merangsang reaksi belian (atau penjualan) yang ketara dalam pasaran ekuiti.

 

"Kami menjangkakan suasana pasaran segera akan terus dikuasai oleh kenyataan/tindakan monetari AS Fed.

 

"Oleh itu, kami mengekalkan sasaran FBM KLCI akhir 2023 kami pada 1,540 mata," katanya. - DagangNews.com