Pengasas bersama Revenue Group, Ng Shih Chiow didakwa atas 12 pertuduhan subahat menipu membabitkan RM13.829 juta | DagangNews Skip to main content

Pengasas bersama Revenue Group, Ng Shih Chiow didakwa atas 12 pertuduhan subahat menipu membabitkan RM13.829 juta

KUALA LUMPUR 8 Jun - Bekas pengarah Revenue Group Bhd, Brian Ng Shih Chiow yang juga pengasas bersama penyedia penyelesaian pembayaran tanpa tunai, didakwa di Mahkamah Sesyen atas 12 pertuduhan subahat memalsukan invois dan pesanan pembelian dengan tujuan menipu syarikat.

 

Ng, 50, didakwa memalsukan invois dan pesanan pembelian, berjumlah RM13.829 juta, untuk beberapa syarikat.

 

Dia didakwa melakukan kesalahan itu bersama pengurus Cheng Choon Choon di Wisma Revenue, Kepong antara 22 Mei 2020 dan 8 Ogos 2022.

 

Invois palsu dan pesanan pembelian adalah untuk Golden Infor Services, Accucom Solutions PLT, dan Omega Dynasty Sdn Bhd.

 

Ng minta dibicarakan bagi semua pertuduhan mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan di hadapan hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob, menurut laporan The Edge.

 

Jika sabit kesalahan, Ng berdepan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh didenda.

 

Rozina membenarkan ikat jamin RM500,000 dengan seorang penjamin, dan Ng diperintahkan melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sebulan sekali.

 

Hakim juga menetapkan 18 Julai untuk sebutan semula.

 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Allan Suman Pillai dan Mohd Shahrom Idris, manakala Amer Hamzah Arshad dan New Sin Yew mewakili Ng.


 

revenue
Brian Ng Shih Chiow (kiri) dan abangnya, Dino Ng Shih Fang

 


Pada bulan Mac, Ng dan abangnya Shih Fang, yang juga bekas pengarah dan pengasas bersama Kumpulan Revenue, minta dibicarakan atas jenayah penyelewengan harta benda, juga di mahkamah Rozina.

 

Mereka didakwa mempunyai niat bersama untuk menipu menyebabkan pegawai CIMB Bank Bhd mendaftarkan aset syarikat itu, Toyota Vellfire, di bawah nama Shih Fang.

 

Pendaftaran itu dilakukan tanpa resolusi lembaga pengarah syarikat. - DagangNews.com