Pengurusan Air Selangor catat pendapatan RM2.82 bilion pada 2023 | DagangNews Skip to main content

Pengurusan Air Selangor catat pendapatan RM2.82 bilion pada 2023

Oleh BERNAMA

KUALA LUMPUR 28 Jun - Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) mencatatkan pendapatan sebanyak RM2.82 bilion pada 2023, meningkat 15.1 peratus daripada RM2.45 bilion dicatatkan pada tahun sebelumnya.

 

Pemangku CEO Air Selangor, Abas Abdullah berkata, peningkatan tersebut adalah hasil daripada pelbagai pendapatan operasi Air Selangor.

 

Katanya Air Selangor akan terus melabur dalam pengurusan dan pentadbiran bekalan air dalam jangka masa panjang untuk 9.3 juta penggunanya di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya apabila pelarasan tarif yang sesuai dan holistik dapat memastikan peningkatan kualiti perkhidmatan secara berterusan.

 

 

“Air Selangor mencatatkan perbelanjaan modal (CAPEX) sebanyak RM0.56 bilion pada 2023 berbanding RM2.68 bilion pada 2022, yang sebahagian besar telah dibelanjakan untuk projek Skim Bekalan Air Rasau Peringkat 1 pada 2022 (RM1.97 bilion).

 

“Selepas dilaraskan bagi tahun 2023, terdapat peningkatan sebanyak 18.8 peratus dalam CAPEX berbanding RM467.99 juta pada 2022 (tidak termasuk Rasau),” katanya pada sidang media sempena terbitan Laporan Kelestarian 2023 Air Selangor pada Khamis.

 

Abas berkata sehingga 31 Dis tahun lepas, Air Selangor telah melaksanakan enam penerbitan Sukuk Kelestarian, dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM3.13 bilion sejak penerbitan pertama pada 29 Okt 2021.

 

Beliau berkata Sukuk Kelestarian diperuntukkan bagi melaksanakan projek-projek berkaitan bekalan air, pengurusan air lestari dan inisiatif tenaga boleh baharu.

 

“Ini termasuk pembangunan kemudahan rawatan air baharu, penyenggaraan kemudahan sedia ada, program penggantian paip dan projek Tenaga Boleh Baharu untuk Air (RENEW),” katanya.

 

Laporan Kelestarian 2023 yang diterbitkan hari ini menggariskan inisiatif dan rekod pencapaian Air Selangor bagi tempoh 1 Jan hingga 31 Dis 2023 serta komitmen dalam mengukuhkan jaminan sekuriti air di peringkat serantau dan tempatan melalui amalan kelestarian dan kecekapan operasi.

 

Abas berkata usaha tersebut selaras dengan aspirasi Air Selangor untuk menjadi penyedia perkhidmatan air terkemuka di Asia menjelang 2030. - DagangNews.com