PUTRAJAYA 29 Ogos – Peniaga meramalkan keadaan perniagaan yang bertambah baik untuk Q3 2023 dengan petunjuk keyakinan positif iaitu 0.7% berbanding -3.1% pada Q2 2023, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.
Ini adalah rumusan Statistik Kecenderungan Perniagaan bagi Suku Tahun Ketiga 2023 yang memaparkan jangkaan prestasi perniagaan bagi tiga dan enam bulan yang akan datang, berdasarkan Survei Kecenderungan Perniagaan yang dijalankan secara suku tahunan.
Ketua Perangkawan Malaysia, Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, sentimen positif tersebut disokong antaranya termasuk kestabilan pasaran pekerjaan, peningkatan dalam pelancongan domestik dan jangkaan yang lebih optimis dalam industri pelancongan kesihatan.
Pada Q3 2023, jangkaan perniagaan positif disokong oleh sektor Perkhidmatan dan Industri. Sektor Perkhidmatan terus optimis terhadap prospek perniagaan dengan petunjuk keyakinan +6.1% berbanding +3.9% pada suku tahun sebelumnya.
Pada masa yang sama, sentimen dalam sektor Industri melonjak kepada trajektori positif dengan mencatatkan +1.3% berbanding -2.1% pada Q2 2023.
Persepsi yang lebih baik dalam sektor Industri disokong oleh dua sub-sektor, iaitu Pertanian dan Perlombongan, yang mana kedua-duanya menjangkakan keadaan perniagaan yang menggalakkan dalam suku tahun rujukan.
Negatif
Sebaliknya, sektor Pembinaan terus menjangkakan keadaan perniagaan yang negatif dengan petunjuk keyakinan -26.9% pada Q3 2023.
Begitu juga, sektor Perdagangan Borong & Runcit kekal pesimis dengan petunjuk keyakinan yang lebih baik -1.5% pada suku tahun rujukan daripada -10.2% pada suku tahun kedua 2023.
Prospek 6 bulan
Melihat kepada sentimen perniagaan untuk enam bulan akan datang berakhir Disember 2023, peniaga kekal optimis, meskipun dengan imbangan bersih yang lebih rendah iaitu +13.9% daripada +14.9% direkodkan sebelum ini (Paparan II).
Tinjauan positif disokong merentas semua sektor, menunjukkan keadaan perniagaan yang bertambah baik dalam tempoh yang diramalkan.
Sektor Perkhidmatan menjangkakan situasi perniagaan yang menggalakkan dalam enam bulan akan datang dengan imbangan bersih +27.0% berbanding +30.1% yang dicatatkan bagi tempoh April hingga September 2023.
Begitu juga, sektor Industri menjangkakan keadaan perniagaan yang lebih baik dengan imbangan bersih +9.7% berbanding +15.6%.
Di samping itu, sektor Perdagangan Borong & Runcit dan Pembinaan bertukar optimis terhadap situasi perniagaan bagi separuh kedua 2023.
Sentimen dalam sektor Perdagangan Borong & Runcit meningkat dengan imbangan bersih +7.2% dibantu oleh prospek yang lebih baik dalam sub-sektor Perdagangan Borong. Sektor Pembinaan turut meramalkan keadaan perniagaan yang positif dengan imbangan bersih +2.6% berbanding -7.7% yang dicatatkan sebelum ini. - DagangNews.com