KUALA LUMPUR 6 Sept - Prospek jangka panjang sektor penjagaan kesihatan adalah positif kesan peningkatan kes penyakit kronik di seluruh dunia.
Kenanga Research berkata, perbelanjaan penjagaan kesihatan global diunjur mencecah AS$10 trilion menjelang 2026 meningkat daripada AS$8.4 trilion pada 2022 dan separuh daripada itu akan dibelanjakan untuk merawat penyakit kronik.
Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menyatakan bahawa antara penyakit kronik utama adalah penyakit berkaitan kardiovaskular, kanser dan penyakit berkaitan pernafasan.
Firma penyelidikan itu berkata, secara amnya, syarikat penjagaan kesihatan swasta di bawah liputan mereka pada suku kedua 2023 termasuk KPJ Healthcare Berhad dan IHH Healthcare Berhad mencatatkan penyusutan kehadiran pesakit terutama pada bulan perayaan.
Bagaimanapun, kedua-dua syarikat itu menjangkakan pesakit akan kembali pada suku berikutnya seperti yang telah dilihat bermula Julai 2023.
Katanya, keputusan 1HFY23 KPJ adalah di dalam jangkaan hasil daripada pesakit yang lebih tinggi (+25%) dan kadar penggunaan katil (BOR) yang lebih tinggi sebanyak 66% (berbanding 52% pada 1HFY22) apabila permintaan untuk perkhidmatan bukan berkaitan COVID-19 meningkat termasuk kes pembedahan elektif.
"Keuntungan bersihnya meningkat dua kali ganda hasil daripada penyerapan kos yang lebih baik (dengan perolehan yang lebih baik) serta mengurangkan kerugian daripada hospital baharunya iaitu KPJ Bandar Dato’ Onn, KPJ Perlis dan KPJ Miri," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Sementara itu, keputusan yang lebih lemah daripada jangkaan daripada IHH pada 1HFY23 adalah disebabkan oleh operasi Singapura dan Turkiye.
Katanya, musim perayaan dan cuti panjang selain pilihan raya presiden menjadi faktor utama operasi di Turkiye terganggu.
"Operasi Singapura terjejas akibat kekurangan kakitangan namun ia semakin berkurangan secara beransur-ansur.
"Secara keseluruhannya, statistik operasi IHH menjurus ke arah FY23 yang kukuh," katanya.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'overweight' terhadap sektor itu. - DagangNews.com