Penjajaran semula ECRL menguntungkan UMW | DagangNews Skip to main content

Penjajaran semula ECRL menguntungkan UMW

.

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 19 April - Keputusan kerajaan berkaitan penjajaran semula Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) ke laluan asal dilihat memberi keuntungan kepada syarikat UMW Holdings Berhad (UMW).

 

CGS-CIMB Research berkata, ia kerana syarikat berkenaan memiliki lebih daripada 700 ekar aset tanah di kawasan jajaran yang diputuskan kerajaan.

 

"UMW mendapat keuntungan daripada cadangan penjajaran semula ECRL Seksyen C ke arah utara melalui Gombak dan Serendah.

 

"Ia kerana UMW mempunyai lebih daripada 700 ekar aset tanah High Value Manufacturing Park (HVM) di Serendah.

 

"Menurut laporan audit terbaharunya, UMW mempunyai tanah kosong seluas 732.4 hektar di kawasan HVM Serendah dengan anggaran nilai bersih sebanyak RM73 juta atau RM2.30/kaki persegi," jelas CGS-CIMB Research.

 

Mengulas lanjut, CGS-CIMB Research memberitahu, jumlah tersebut merupakan nilai tawaran yang tinggi berbanding transaksi terakhir yang dibuat pada 2019 ketika menjual tanah komersial seluas 8.25 ekar kepada MCE Holdings.

 

.

 

Transaksi berkenaan dibuat dengan harga RM14.4 juta yang bersamaan dengan RM40/kaki persegi.

 

"Kami melihat potensi yang signifikan buat UMW untuk menawarkan aset bank tanahnya dengan penjajaran semula ECRL," tambah CGS-CIMB Research lagi. 

 

Awal April baru-baru ini, kerajaan menerusi Kementerian Pengangkutan mengumumkan untuk menambah baik dan penjajaran semula ECRL ke laluan asal iaitu Jajaran Utara dengan kos anggaran pembinaan sebanyak RM50 bilion.

 

Nilai unjuran pembinaan tersebut adalah lebih rendah daripada jangkaan kos pembinaan ECRL 2.0 yang melalui jajaran selatan.

 

Jajaran asal Seksyen C itu turut dikenali sebagai Jajaran Utara, akan membabitkan laluan ECRL dari Mentakab ke Pelabuhan Klang melalui Bentong, Gombak dan Serendah berbanding Jajaran Selatan yang melalui Negeri Sembilan.

 

Jajaran Utara tersebut dilihat akan meningkatkan kebolehmampuan projek ECRL selain memberi lebih manfaat kepada ekonomi, alam sekitar, dan sosial. - DagangNews.com