IPOH 5 Dis - Pembangunan kawasan sekitar Meru Raya - Klebang dijangka rancak apabila projek penyambungan jalan Meru Raya - Klebang siap pada tahun hadapan.
Laluan ini melengkapkan sambungan jajaran Lebuh Chepor Utama 2 ke Lebuh Klebang Putra.
Dalam tempoh lima tahun, dianggarkan lebih 1,700 buah rumah dan lot komersial akan dibangunkan oleh pihak pemaju di sekitar kawasan ini.
Pada masa sama, ia juga dapat mengurangkan kesesakan di persimpangan pekan Chemor ketika ini.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, projek tersebut dilaksanakan secara kerjasama pintar antara Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dengan lima pemaju hartanah.
Antaranya Ain Bina Development Sdn. Bhd., Eadepro Development Sdn. Bhd., Satin Tiara Sdn. Bhd., Scientex Quatari Sdn. Bhd. dan Total Investment Sdn. Bhd. melalui Private Fund Investment (PFI) oleh syarikat pemaju.
Menurut beliau, pihak kerajaan negeri pula akan menanggung kos bagi proses pengambilan balik tanah dengan anggaran sebanyak RM4.2 juta.
"Fasa pertama projek adalah pembinaan jambatan yang merentasi Sungai Pari dengan kos kira-kira RM2.1 juta yang siap November lalu.
"Fasa dua pula pembinaan jalan yang menyambungkan laluan dari Lebuh Chepor Utama 2 di Meru Raya dengan Lebuh Klebang Putra di Klebang melibatkan kos sekitar RM5 juta," ujarnya ketika ditemui selepas melawat tapak projek itu semalam.
Ketika ini projek berjalan lancar dengan kemajuan sekitar 35% dan dijangka dapat disiapkan mengikut jadual. - DagangNews.com