Penyenaraian unit jana tenaga: TNB mampu raih RM77 bilion jumlah penilaian  | DagangNews Skip to main content

Penyenaraian unit jana tenaga: TNB mampu raih RM77 bilion jumlah penilaian 

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 11 Nov. - Pengasingan penyenaraian unit jana tenaga oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) membolehkan dana yang berfokuskan tadbir urus alam sekitar, sosial dan korporat (ESG) memiliki unit penghantaran dan pengagihan elektrik (T&D) syarikat itu. 

Perkara tersebut sekali gus dapat meningkatkan penilaian kumpulan TNB secara keseluruhannya sehingga RM77 bilion, kata MIDF Research.

“Pengasingan penilaian TNB (penilaian ke atas unit jana tenaga dan T&D berdasarkan purata pesaing) menunjukkan potensi penilaian sehingga RM77 bilion (RM13.60 sesaham), berdasarkan jangkaan kami iaitu 21% lebih tinggi daripada nilai pasaran semasa TNB. 

“Malah, pada kadar modal pasaran semasa iaitu RM64 bilion, pelabur pada dasarnya memperoleh perniagaan jana tenaga secara ‘percuma’, memandangkan unit T&D dan runcit sahaja dapat mencapai penilaian sehingga RM68 bilion berdasarkan pengasingan keuntungan bersih FY19,” kata MIDF dalam nota kajiannya. 

 

TNB

 

Semalam, DagangNews.com melaporkan TNB berhasrat untuk menyenaraikan unit jana tenaganya di Bursa Malaysia pada tahun hadapan, sebahagian daripada langkah penyusunan semula korporat. 

Baca : TNB rancang senaraikan unit jana tenaga

Bagaimanapun, pertimbangan tersebut masih di peringkat awal dan tiada jaminan urus niaga itu akan diteruskan. 

Menurut MIDF, sebahagian daripada penilaian TNB diturunkan disebabkan oleh lonjakan pelabur ESG, di mana kumpulan syarikat itu terdedah dengan jana tenaga arang batu. 

Susulan itu, pemegangan ekuiti asing dalam TNB merudum serendah 14.9% setakat Ogos 2020, berbanding 22% hingga 27% pada tahun 2014 hingga 2018. 

“Kami menjangkakan sebanyak 55% daripada kapasiti jana tenaga TNB (50% termasuk jana tenaga di selatan) dikuasai arang batu, dengan hampir kesemua kapasitinya berasal dari jana tenaga di Manjung dan terkini di Jimah,” tambah MIDF. - DagangNews.com