Perak Corp nafi dakwaan penipuan aset tanah oleh pengarah Paramount Grace | DagangNews Skip to main content

Perak Corp nafi dakwaan penipuan aset tanah oleh pengarah Paramount Grace

KUALA LUMPUR 6 Sept - Perak Corp Berhad menafikan dakwaan penipuan dan tidak mendedahkan aset tanah oleh pengarah Paramount Grace Sdn. Bhd., Paramjit Singh Gurbachan Singh.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, dakwaan yang dibuat oleh Paramjit adalah berniat jahat dan tidak berasas.

 

“Syarikat itu telah membuat laporan polis berhubung dakwaan yang dibuat oleh Paramjit.

 

"Ketika ini, syarikat sedang mendapatkan nasihat undang-undang berhubung dakwaan berniat jahat ini dan kenyataan tidak tepat oleh Paramjit selain akan membuat pengumuman yang diperlukan dalam masa terdekat,” katanya.

 

Kenyataan itu adalah maklum balas kepada laporan The Edge yang diterbitkan dalam edisi mingguan 4 hingga 10 September 2023 yang bertajuk 'More allegations of fraud against Perak Corp',

 

Menurut laporan itu, pada 19 Ogos lalu, Paramjit memfailkan aduan di Balai Polis Travers berhubung penipuan membabitkan aset tanah Perak Corp, yang didakwa dimiliki syarikat itu di bawah skim pengaturan pemiutang seperti diumumkan kepada Bursa Malaysia pada Disember 2020.

 

Paramjit juga memfailkan aduan kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan melaporkan perkara tersebut kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.

 

Ini berhubung perjanjian jual beli yang dimeterai antara Perak Corp dan Kim Poh Sitt Tat Feedmill Sdn. Bhd. yang diumumkan pada 9 Ogos, untuk melupuskan tanah pertanian pegangan pajak, seluas 44.5 hektar, di Kampar berharga RM5.5 juta.

 

“Kami ingin menyatakan bahawa semua hartanah dalam syarikat, termasuk tanah pertanian pegangan pajak seluas 44.5 hektar di Kampar yang dipegang di bawah H.S (D) 13618 PT 32665, telah dimasukkan dengan betul dalam penyata penjelasan bertarikh 26 Mac 2021 untuk cadangan skim penyusunan berdasarkan akaun pengurusan Perak Corp pada 30 Jun 2020,” kata Perak Corp.

 

Paramount Grace adalah antara pemiutang Perak Corp dan ia diberikan kontrak kerja mekanikal serta elektrik di Movie Animation Park Studios (MAPS), yang dikendalikan oleh Animation Theme Sdn. Bhd.

 

Pada pertengahan Disember 2020, Paramount Grace dimasukkan di dalam skim pengaturan pemiutang selepas Perak Corp jatuh ke dalam status Nota Amalan 17 (PN17) pada Februari 2020.

 

"Kami menekankan bahawa skim pengaturan Perak Corp dan PCB Development (dalam kecairan sukarela pemiutang) telah dinenarkan oleh Mahkamah Tinggi Malaya pada 7 Mei 2021, yang terikat ke atas semua skim pemiutang masing-masing," tegas Perak Corp. - DagangNews.com