Perkasa kekuatan mental dalam meniti arus kehidupan pasca pandemik COVID-19 | DagangNews Skip to main content

Perkasa kekuatan mental dalam meniti arus kehidupan pasca pandemik COVID-19

Oleh Norazlinda Mohammad

SETIAP kehidupan ada pasang dan surutnya begitu juga apa yang kita lalui tidak semestinya baik dan indah setiap masa.  Ada fasa sukar, kita diduga dengan pelbagai masalah, cabaran dan dugaan kehidupan yang menguji ketetapan iman dan kesabaran seseorang di dalam melalui liku-liku kehidupan. 

 

Dianggarkan seramai 100,000 individu di negara ini menghadapi masalah berkaitan mental pasca pandemik COVID-19. 

 

Pelbagai senario permasalahan atau tekanan hidup yang dihadapi oleh manusia seperti masalah kewangan, kemiskinan, ekonomi yang tidak menentu, kos sara hidup yang tinggi, kehilangan kerja atau sumber pendapatan, mengalami penyakit kronik yang menganggu kesihatan, kematian orang yang tersayang hingga menyebabkan hilangnya tempat bergantung, kemalangan, masalah komunikasi dan perhubungan di dalam rumah, konflik di tempat kerja dan pelbagai musibah yang lain. 

 

Sememangnya masalah ini memberi kesan yang mendalam kepada pemikiran, hati, jiwa dan boleh mengakibatkan tekanan perasaan, pergolakan emosi dan trauma yang berpanjangan kepada individu yang mengalaminya.  Ironinya, jika sesuatu masalah tidak ditangani dengan baik boleh menjejaskan kesihatan mental, keyakinan diri dan personaliti individu tersebut.


 

Norazlinda Hj Mohammad
  Norazlinda Mohammad

 


Persoalannya, bagaimanakah kita menghadapinya dan melalui situasi ini dengan daya ketahanan mental dan emosi yang kuat serta seiring?  Sudah pasti akan ada tindak balas yang berbeza kerana ia bergantung kepada daya ketahanan mental atau “resilience” individu tersebut. 

 

Kita sering mendengar keluhan permasalahan seseorang melalui aduan, rintihan perasaan yang diluahkan melalui perbualan dan ada segelintir individu melepaskan masalah atau tekanan melalui coretan di halaman media sosial seperti Facebook, Twitter dan lain-lain.

 

Bina Kekuatan Mental, Jiwa dan Emosi dengan Berfikiran Waras dan Bijak

Kita sememangNya akan melalui pelbagai dugaan dan gelombang kehidupan yang menguji kesabaran oleh itu, kita perlu persiapkan daya ketahanan minda agar jiwa tidak koyak, tidak mudah goyah, rapuh dan berputus asa. 

 

Daya ketahanan mental ialah satu proses yang membolehkan individu itu berfikiran waras, rasional dan menyesuaikan diri dengan baik ketika berhadapan dengan keadaan yang sukar, mencabar dan penuh dengan tekanan hidup. 

 

Pembinaan kekuatan mental juga adalah suatu proses kebangkitan “resilience” atau “bangun semula” selepas mengalami sebarang tekanan, permasalahan hidup dan detik-detik yang sukar.

 

Natijahnya, isu kesihatan mental perlu dipandang serius kerana ia melibatkan pelbagai lapisan masyarakat dan merangkumi semua domain iaitu dari sudut biological, psikologikal, sosial, dan spiritual (kerohanian). 


 

tnb

 


Pembangunan spiritual iaitu kerohanian dalaman perlu diisi dengan kekuatan jiwa, sirami hati dengan benih-benih keimanan, ketakwaan, zikrullah dan sabar.  Masalah kesihatan mental tidak boleh dipandang enteng di dalam era globalisasi yang pesat dan perlu dijaga bagi mengelakkan masalah jiwa yang kacau seperti depresi, kemurungan, kecelaruan bipolar, mencederakan diri dan skizofrenia.

 

Dengan kekuatan mental dan berjiwa kental, tidak mudah kalah dengan permainan emosi akan membentuk keseimbangan personaliti dari aspek intelektual dan emosi.  Pembawaan diri dengan akal, jiwa yang sihat dan minda yang matang akan membentuk peribadi yang baik, mantap dan disenangi oleh orang sekeliling.

 

Ini sejajar dengan konsep MALAYSIA MADANI yang dibawa oleh Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim; menekankan aspek Kesejahteraan dan Hormat iaitu membina perhubungan dan komunikasi yang baik dengan keluarga dan orang sekeliling demi mewujudkan masyarakat yang sejahtera dan harmoni.

 

Berdasarkan American Psychological Association, faktor penyumbang kepada daya ketahanan mental  ialah mempunyai hubungan yang baik dengan keluarga dan masyarakat.

 

Elakkan persengketaan dan seharusnya kita perlu ada jiwa yang peka dan sensitif dengan menjaga adab, lisan, mengawal emosi dan kemarahan agar tidak melampiaskannya kepada orang lain. Jangan biarkan emosi goyah; belajar untuk mengawal emosi bukan emosi yang mengawal kita.

 

Sehubungan itu, pembinaan jati diri dengan emosi yang stabil, tidak berubah-ubah memberi kekuatan dan daya ketahanan mental seseorang.  Tidak dinafikan, masa boleh berlalu dengan mengubati hati dan perasaan yang luka tetapi lakaran parut tetap memberikan kesan yang panjang seperti bom jangka akibat serangan perkataan, tuduhan atau kritikan yang diucap secara melulu tanpa mengira perasaan individu.  Bak kata pepatah, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.     

 

Pupuk Sifat Ihsan di dalam Membina Kehidupan dan Jaringan Sosial yang Baik

Kematangan pemikiran boleh dibentuk melalui kesedaran dan pengalaman hidup yang dialami oleh seseorang individu.  Sifat Ihsan yang digariskan oleh Malaysia MADANI perlu dipupuk dan dihayati bagi melatih minda, hati dan jiwa agar tidak mementingkan diri dengan bersikap prihatin, berhemah ada belas kasihan dan sifat membantu di dalam membina perhubungan yang baik di dalam keluarga, kerjaya dan masyarakat.


 

volatiliti

 


Pembudayaan nilai-nilai berkonsepkan MALAYSIA MADANI dapat memberi keyakinan antara satu sama lain tidak kira di dalam institusi kekeluargaan, di tempat kerja dan dalam kalangan masyarakat agar bersatu teguh dan tidak berpecah belah. 

 

Secara keseluruhannya ia bukan sahaja dapat mengurangkan pengabaian atau penafian hak bahkan ia mengeratkan jaringan sosial yang baik dan utuh.  Rapuhnya hati dan jiwa individu jika tidak ada rasa sifat hormat dan sabar. 

 

Penyelesaian Masalah Kendiri dengan Membina Daya Ketahanan Mental

Seseorang individu perlu sedar bahawa penjagaan diri atau self-care perlu dilakukan dengan sebaiknya.  Kenali diri dan sayangi diri sendiri dengan bermuhasabah diri dan mengenali kehendak, kemahuan, kekuatan diri dan kelemahan diri. 

 

Penjagaan diri dengan menjaga aspek kesihatan mental, fizikal dan rohani diri sendiri amat penting kerana ia akan membina daya kekuatan, minda dan jiwa yang kental ketika menghadapi saat-saat genting atau sukar.

 

Selain itu, individu perlu melihat potensi diri sendiri dan sentiasa berfikir positif dan di luar kotak.  Jangan biarkan diri terperangkap dengan kelemahan atau kekurangan kerana ia akan melemahkan semangat dan keyakinan yang ada di dalam diri sendiri.  Kenali aspek kekuatan diri dan serlahkan bakat, kelebihan dan minat dengan melakukan sesuatu hingga berjaya.  Sudah pasti, kita mahu melakukan sesuatu yang kita suka dan mencapai kejayaan.

 

Perbaiki kelemahan atau kekurangan yang ada pada diri dengan mempelajarinya.  Manusia yang berjaya tidak akan takut untuk mengambil cabaran atau risiko dan belajar sesuatu yang baru melalui perkongsian, percambahan ilmu dan pengalaman hidup. 


 

tnb

 


Elakkan diri dari menjadi bodoh sombong dan tidak rugi bertanya dengan orang yang ada kepakaran mengenai sesuatu bidang.  Pengalaman hidup akan mendewasakan seseorang itu agar menjadi seorang yang berfikiran jauh, rasional dan matang dalam pemikiran dan tindakan.

 

Bina persepsi yang baik dengan sentiasa bersangka baik, husnuzon dengan ujian ALLAH SWT dan percaya ada hikmah di sebalik sesuatu ujian ilahi.  Hadapi sesuatu masalah dengan senyuman, hati yang lapang dan reda.  Usah menjadikan masalah sebagai bebanan besar kerana ia akan menjejaskan kesihatan minda, jiwa dan hati. 

 

Fokus dan berfikir positif dengan mencari penyelesaian yang baik bagi menangani masalah kerana anda lebih tahu bagaimana menyelesaikannya dengan iltizam dan keyakinan yang teguh. 

 

Setiap kehidupan perlu ada matlamat, oleh itu sewajarnya untuk kita fokus pada keyakinan diri dengan hidup bermatlamat.  Jika kita tidak merencana, kita akan gagal di dalam kehidupan.  Di dalam meniti arus atau cabaran kehidupan; sentiasa titipkan Doa, Usaha, Ikhtiar dan Tawakal kepada ALLAH SWT. 

 

Semai sesuatu matlamat dengan hala tuju yang realistik dan tekun mengusahkannya hingga melakar kejayaan.  Raikan pencapaian dengan memberi penghargaan seperti membeli barangan yang diidamkan bagi menyambut kejayaan yang dicapai dengan hasil usaha dan lebih manis ia adalah hasil dari titik peluh diri sendiri. 

 

Perlu diingat, seseorang itu perlu sentiasa berfikiran rasional dan bijak ketika membuat sesuatu tindakan dengan mengambil kira akan kesan baik atau buruk.  Jangan membiarkan diri bertindak atau membuat keputusan secara semberono dan dipengaruhi emosi, marah kerana ia akan memberi kesan yang mendalam. 

 

Sifat amarah perlu dijauhi kerana ia boleh mempengaruhi emosi seseorang untuk bertindak di luar kawalan dan akhirnya menjejaskan komunikasi dan perhubungan keluarga sama ada di rumah dan rakan-rakan di tempat kerja.

 

Akhir sekali, bina hubungan dan silaturrahim yang baik dengan keluarga, adik beradik dan rakan taulan di tempat kerja.  Komunikasi yang baik serta bantuan, sokongan emosi dan motivasi dapat membantu individu bukan sahaja ketika menghadapi kesukaran, tekanan atau sebarang masalah tetapi juga membina ketahanan mental agar tidak tersasar dari landasan kehidupan yang sebenar. 


 

tnb

 


Umumnya, setiap pengalaman sama ada yang pahit atau manis mengajar kita menjadi lebih matang di dalam meniti arus cabaran di dalam kehidupan.  

 

Sememangnya manusia tidak ada yang sempurna di dunia ini oleh itu, tangani setiap masalah atau musibah dengan berbekalkan akal, minda yang sihat, rohani yang bersih dan bijaksana agar kehidupan kita sentiasa seimbang, mampan dan terpelihara di dalam reda ilahi. 

 

Bangkit daripada krisis atau masalah dengan menghadapinya penuh sabar.  Lazimnya, ibrah atau pengajaran dari masalah yang dihadapi oleh seseorang itu perlu reda, belajar merawat minda, jiwa dan tekanan dengan baik agar jiwa sentiasa tenang dan terus hidup. - DagangNews.com

 

Norazlinda Hj Mohammad adalah Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi & Pengajian Media UiTM Cawangan Melaka