Permohonan SIM RM10 juta dibuka | DagangNews Skip to main content

Permohonan SIM RM10 juta dibuka

Khairy Jamaluddin

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

KUALA LUMPUR 4 Ogos - Geran Padanan Impak Sosial (SIM) Malaysia yang diumumkan sebagai inisiatif peningkatan Perusahaan Sosial (SE) di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) Jangka Pendek Nasional kini dibuka untuk permohonan.

Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, geran tersebut bertujuan untuk menyokong SE tempatan dan perniagaan impak sosial bagi mengekalkan inisiatif dan program, memanfaatkan keupayaan pengumpulan data, meningkatkan kesedaran orang awam dalam inovasi sosial dan memperluas penyelesaian untuk kebaikan alam sekitar dan sosial.

"Kami ingin membina lebih banyak perniagaan impak sosial yang dapat menyumbang kepada ekonomi dan pada masa yang sama meningkatkan daya kehidupan.

"Itulah objektif geran ini, untuk mempromosikan perniagaan yang inklusif dan bertanggungjawab. SE adalah medium yang hebat untuk membantu membina semula mata pencarian masyarakat dan bagi mereka yang terkesan daripada pandemik baru-baru ini," jelasnya dalam satu kenyataan.

Geran tersebut dirancang untuk mengutamakan permohonan yang menyediakan penyelesaian inovasi dalam empat bidang impak iaitu mata pencarian komuniti, keselamatan makanan, kesejahteraan sosial dan kesihatan, pemeliharaan alam sekitar serta pemuliharaan warisan.

Geran SIM akan diagihkan melalui mekanisma padanan 1:1 dan disediakan untuk pemohon yang berjaya dengan inisiatif pendanaan awam.

Inisiatif itu akan menyediakan geran padanan minimum sebanyak RM5,000 dan maksimum sebanyak RM500,000 bagi setiap permohonan.

Nilai ambang bagi pengagihan geran maksimum pula adalah berbeza berdasarkan jenis pemohon dan merupakan SE diakreditasi, SE yang tidak diakreditasi serta individu dan entiti lain.

Sementara itu, Ketua Pengarah Eksekutif Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC), Dzuleira Abu Bakar berkata, setiap permohonan akan menjalani tiga langkah proses kelayakan dan pemohon dapat menjangkakan penerimaan pembayaran dalam tempoh dua bulan dari tarikh penyerahan sekiranya dokumen lengkap.

Dzuleira Abu Bakar
                                                          Dzuleira Abu Bakar

 

"Proses pemilihan adalah ketat kerana kami mahu memastikan objektif program dipenuhi. Tujuan geran ini bukan sahaja menggandakan penglibatan orang ramai dengan menyampaikan penyelesaian kepada masyarakat melalui sumbangan mereka.

"Pemohon Geran SIM yang berjaya akan memperoleh manfaat daripada potongan sebanyak 20% ke atas yuran platform bagi RM1 juta pertama yang dikumpul pada setiap platform pendanaan awam seperti GIVE.asia, LaunchGood. NGOhub, Sedunia dan pelbagai lagi," jelasnya.

MaGIC juga akan bekerjasama dengan beberapa rakan kongsi lain termasuk Lazada untuk melancarkan kempen #buyforimpact bagi memacu kesedaran dan permintaan barangan serta perkhidmatan yang ditawarkan oleh usahawan sosial. - DagangNews.com