Perolehan 3QFY21 Taliworks dijangka lebih lemah akibat 'lockdown' | DagangNews Skip to main content

Perolehan 3QFY21 Taliworks dijangka lebih lemah akibat 'lockdown'

Taliworks Corporation Berhad

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 24 Ogos - Perolehan syarikat perkhidmatan dan rawatan air, Taliworks Corporation Berhad (Taliworks) dijangka lebih lemah menjelang suku ketiga tahun kewangan 2021 (3QFY21).

 

CGS-CIMB Research berkata, ia susulan daripada impak pelaksanaan PKP penuh atau 'lockdown' bermula Jun 2021.

 

"Kami menjangkakan perolehan suku tahunan yang lebih lemah pada 3QFY21 kerana kesan daripada 'lockdown' pada Jun, PKP yang lebih ketat pada Julai dan seterusnya di samping SOP yang tegas di bawah Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN)," jelas CGS-CIMB Research.

 

Taliworks mencatatkan penurunan keuntungan bersih sebanyak 19.6% berbanding tahun sebelumnya pada separuh pertama 2021 (1H21).

 

Prestasi kurang positif itu diheret oleh kerugian dalam segmen pembinaan dan faedah pendapatan yang lebih rendah.

 

Dalam pada itu, Taliworks turut mengumumkan hasil suku kedua tahun kewangan 2021 yang menyaksikan perolehan sebanyak RM61.9 juta, susut 5.6% berbanding suku sebelumnya dan susut 18.6% berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Hasil berkenaan sekali gus menjadikan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) sebanyak RM12.6 juta.

 

Tambah CGS-CIMB Research lagi, pengumuman dividen interim bernilai 1.65 sen yang dibuat syarikat berkenaan menjadikan jumlah dividen sesaham (DPS) sebanyak 3.3 sen bagi tempoh separuh pertama 2021.

 

"Situasi berkenaan berada di landasan yang tepat untuk mencapai jangkaan DPS FY21 kami sebanyak 6.6 sen.

 

"Ramalan DPS kami disokong oleh prestasi tunai dan pelaburan akhir 2Q21 sebanyak RM419 juta," tambah CGS-CIMB Research.

 

Sementara itu, Hong Leong Investment Bank Research (HLInvest) memberitahu, segmen pengurusan air syarikat berkenaan perlu kekal stabil sementara segmen tolnya akan mendapat manfaat hasil daripada kelonggaran pergerakan pada masa hadapan.

 

HLInvest berkata, pihaknya mengekalkan saranan 'beli' saham Taliworks dengan harga sasaran sesaham (TP) yang tidak berubah sebanyak RM0.96.

 

"Kami kekal tertarik dengan Taliworks dengan prestasi pendapatan yang konsisten di tengah-tengah ketidakpastian pandemik selain disokong oleh profil dividen yang menarik sebanyak 8.0%.

 

"Risiko penurunan utama termasuk lanjutan sekatan perjalanan akibat daripada SOP COVID-19," ujar HLInvest. - DagangNews.com