KUALA LUMPUR 25 Ogos - Persatuan Haulier Malaysia menyeru ahli-ahlinya supaya menyokong para peniaga di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) PLUS di sepanjang lebuh raya, bagi membantu kelangsungan hidup mereka yang dihimpit kepayahan semasa pandemik COVID-19 ini.
Setiausaha Eksekutif persatuan, Mohamad Azuan Masud berkata, sempena bulan Kemerdekaan ini juga, semua ahli diajak bersatu melawan ancaman yang hanya akan dapat dikalahkan jika semua rakyat membuktikan perbezaan kaum dan agama tidak menjadi halangan untuk bersama-sama bertahan menghadapi pandemik ini.
''Kami mahu mengucapkan terima kasih kepada para peniaga dan petugas di R&R sepanjang lebuh raya PLUS dan saya menyeru rakan-rakan seperjuangan saya untuk bersama-sama mencetuskan semarak kemerdekaan sebenar dengan menyokong para peniaga R&R yang sentiasa bersedia memastikan keselesaan perjalanan semua.
''Marilah bersama kami dalam memastikan Pak Samad, seorang nelayan masih boleh menjual hasil tangkapannya ke Selangor, atau Mak Siti yang mengusahakan 'keropok lekor' Terengganu dapat di memasarkan bekalannya ke Pulau Pinang dan memastikan industri desa kita sentiasa mendapat tempat di hati kita.
''Kepada semua rakyat Malaysia yang dibenarkan merentas negeri, sokonglah kempen Satu Pembelian, Seribu Harapan PLUS, kerana sokongan anda dapat memastikan kelestarian semua, terutamanya pengusaha kecil dan pemandu lori dalam memastikan sistem sosio ekonomi kita masih dapat bertahan, demi kelestarian semua,'' katanya dalam kenyataan di sini.
Mohamad Azuan berkata, bagi ahli-ahli Haulier, sambutan Kemerdekaan kali ini dirasakan lebih bermakna kerana mereka juga berada di barisan hadapan, memerangi satu ‘musuh’ yang menyerang dari setiap arah, tanpa mengira batas kaum dan agama.
''COVID-19 bukan sahaja memusnahkan cara hidup kita sebelum ini tetapi telah memaksa kita untuk lebih berwaspada dan dalam keadaan bertahan melalui pematuhan kepada norma baharu yang dipenuhi dengan SOP,'' kata beliau. - DagangNews.com