Persatuan Pengilang Bumiputera perkukuhkan kerjasama ekonomi Malaysia-Emiriah Arab Bersatu | DagangNews Skip to main content

Persatuan Pengilang Bumiputera perkukuhkan kerjasama ekonomi Malaysia-Emiriah Arab Bersatu

KUALA LUMPUR 16 Ogos - Persatuan Pengilang dan Industri Perkhidmatan Bumiputera Malaysia (Pengilang) telah mengadakan kunjungan rasmi yang berjaya ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) bertujuan untuk memperkukuhkan kerjasama ekonomi antara Malaysia dan UAE.

 

Delegasi ini telah menjalin hubungan yang lebih erat dengan Konsulat Jeneral Malaysia di Dubai dan Dubai Chambers, yang berperanan penting dalam memajukan perdagangan dan pelaburan di antara kedua-dua negara.

 

Pertemuan pertama delegasi Ahli Jawatankuasa (AJK) Pengilang yang diketuai oleh Presiden, Datuk Azman Yusof telah berlangsung dengan Konsul Jeneral Malaysia di Dubai, Mohd Fadly Amri. Perbincangan yang produktif menekankan aspek potensi kerjasama dalam mengembangkan produk-produk Malaysia di pasaran UAE yang semakin berkembang.

 

Selain itu, isu-isu kekangan yang dihadapi oleh syarikat Malaysia dalam mengakses pasaran UAE turut mendapat perhatian serius.

 

Program-program yang akan dijalankan di Dubai untuk mempromosikan usaha-usaha ekonomi dan perdagangan telah diumumkan, menggambarkan komitmen Pengilang dalam memperluaskan pasaran.

 

Sesi kedua melibatkan Persatuan Pengilang bertemu dengan wakil dari Dubai Chambers. Perbincangan ini memberi fokus kepada potensi sinergi ekonomi dan industri di antara Malaysia dan UAE, dengan penekanan pada pertumbuhan ekonomi yang berterusan.


 

irsyad

 


Pertemuan ini turut dihadiri oleh Mohd Fadly Amri; Pesuruhjaya Perdagangan MATRADE di Dubai, Megat Iskandar Ahmad Dassilah, serta Penolong Pesuruhjaya Perdagangan MATRADE di Dubai, Haslinda Hassan.

 

Dubai Chambers pula diwakili oleh Mohammed Lootah, Presiden dan CEO; Salem Alshamsi, Naib Presiden – Pasaran Global; Marwan AlMarri, Pengarah Wilayah (Asia) – Pasaran Global; dan Sumaya AlShamsi, Pengarah – Perhubungan Strategik dan Protokol.

 

Azman berkata, perbincangan ini telah menegaskan tekad untuk menguatkan lagi kerjasama dalam memperluas perdagangan dan pelaburan antara Malaysia dan UAE.

 

Kunjungan ini adalah langkah positif dalam mempererat hubungan ekonomi antara Malaysia dan UAE. PENGILANG dengan kerjasama Dubai Chambers berharap untuk mengukuhkan lagi hubungan ini melalui pelbagai inisiatif dan program-program yang akan datang.

 

"Pengilang ingin mengucapkan setinggi penghargaan dan memberikan pujian kepada Konsulat Jeneral Malaysia di Dubai dan Pesuruhjaya Perdagangan Malaysia yang memberikan banyak bantuan dalam menjayakan kunjungan ini terutamanya memberikan maklumbalas profil produk yang berpotensi untuk dieksport.

 

"Pengilang menyambut baik perkembangan ini dan berharap kerjasama yang lebih erat akan terus mendorong pertumbuhan ekonomi dan perdagangan antara Malaysia dan UAE," kata Azman. - DagangNews.com