Persatuan Pengilang Bumiputera tolak cadangan bekerja 4 hari seminggu, anggapnya `amat tidak bernas' | DagangNews Skip to main content

Persatuan Pengilang Bumiputera tolak cadangan bekerja 4 hari seminggu, anggapnya `amat tidak bernas'

Majoriti ahli Persatuan Pengilang & Industri Perkhidmatan Bumiputera Malaysia (PENGILANG) menolak idea bekerja 4 hari seminggu. - Gambar Remy Gieling
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 5 Julai - Persatuan Pengilang & Industri Perkhidmatan Bumiputera Malaysia (PENGILANG) menyifatkan cadangan pelaksanaan waktu bekerja kepada empat hari seminggu daripada lima hari atau enam hari seminggu, sebagai `amat tidak bernas' buat masa sekarang.

 

Presiden PENGILANG, Datuk Azman Yusoff berkata, persatuan telah menjalankan kaji selidik dan didapati majoriti daripada ahli menolak idea pengurangan minggu hari bekerja untuk menjadi lebih singkat.

 

Beliau berkata, PENGILANG juga berharap pihak kerajaan mengkaji secara teliti idea ini dan apakah impak pengurangan hari bekerja ini secara terus kepada ekonomi Malaysia.

 

Katanya, ini kerana majoriti tahap kerja pekerja sama ada di sektor awam mahupun swasta masih belum berada di tahap yang efisyen dan ini boleh mengurangkan hasil atau pendapatan sesebuah agensi atau syarikat.

 

Malah kata beliau, bagi majoriti ahli PENGILANG yang merupakan pemilik kilang, kekurangan hari bekerja mampu meletakkan risiko kilang mereka berhadapan dengan kekurangan pendapatan, atau lebih teruk lagi, terpaksa tutup perniagaan mereka.

 

Menurutnya, Malaysia sendiri merupakan salah satu negara yang paling banyak cuti am dan majikan di Malaysia terutama dalam kalangan SME sudah perlu mengimbangi produktiviti syarikat dengan hari-hari cuti ini.

 

"Pengurangan hari kerja mingguan pasti menambahkan lagi beban terhadap majikan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini, sebagai mengulas langkah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menubuhkan satu pasukan khas bagi mengkaji pelaksanaan waktu bekerja kepada empat hari seminggu daripada lima hari atau enam hari seminggu.

 

 

Datuk Azman Yusoff
                       Datuk Azman Yusoff

 

 

Azman berkata, sejak pandemik COVID-19, telah banyak kelonggaran diberikan majikan kepada pekerja, antaranya ialah 'bekerja dari rumah', dan waktu kerja fleksibel.

 

Beliau berkata, kelonggaran seumpamanya sudah mencerminkan keprihatinan majikan terhadap pekerja bawah jagaan mereka.

 

Malah ujar beliau lagi, Kesatuan Pekerja-Pekerja di Perkhidmatan Awam (CUEPACS) juga menganggap kajian untuk 4 hari bekerja ini sama sekali tidak relevan dan penekanan harus diberikan kepada kebajikan penjawat awam yang belum terlaksana.

 

Menurutnya lagi, kaji selidik daripada Quatrils juga mendapati 62 peratus pekerja lebih gemar dengan fleksibiliti bekerja berbanding empat hari bekerja. - DagangNews.com