Persediaan hadapi pilihan raya negeri pasca Aidilfitri, kini masuk Gear 5 sepenuhnya | DagangNews Skip to main content

Persediaan hadapi pilihan raya negeri pasca Aidilfitri, kini masuk Gear 5 sepenuhnya

KUALA LUMPUR 25 April - Persediaan kemuncak bagi menghadapi pilihan raya di enam negeri bakal meningkat apabila penggal DUN Selangor dijadualkan tamat pada akhir bulan Jun ini.

 

Minggu ini selepas sambutan Aidilfitri yang diraikan Sabtu dan Ahad lepas, adalah masanya bagi gabungan parti-parti politik utama terus bersungguh-sungguh membuat keputusan akhir mengenai pembahagian kerusi untuk pilihan raya negeri.

 

Menurut Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, perbincangan di peringkat negeri dan pusat sedang dijalankan untuk membina hubungan antara gabungan itu dan Pakatan Harapan.

 

“Proses ini tidak menghadapi masalah dan kerjasama kami akan dipertingkatkan lagi,” katanya seperti dilaporkan The Star semalam.

 

 

Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir
                 Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir

 

 

Zambry, yang juga Menteri Luar dalam kerajaan perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengakui bahawa persefahaman umum mengenai pembahagian kerusi telah dicapai, walaupun beliau menyatakan bahawa butirannya masih belum diselesaikan oleh kedua-dua gabungan itu.

 

Beliau seterusnya menegaskan jentera pilihan raya negeri-negeri yang tidak terlibat dalam pilihan raya akan turut digerakkan untuk menghulurkan bantuan.

 

"Mereka akan turun padang dan membantu dalam menunjukkan solidariti dan memastikan kemenangan untuk semua calon kerajaan perpaduan," katanya.

 

Untuk konteks, pilihan raya negeri Selangor ditetapkan untuk dibubarkan secara automatik pada 26 Jun, dengan pilihan raya negeri akan diadakan dalam tempoh 60 hari (sehingga 26 Ogos).

 

Walaupun tarikh pembubaran lima DUN yang lain berbeza, PH dan sekutunya bersama gabungan Perikatan Nasional telah bersetuju untuk mengadakan pilihan raya negeri secara serentak.

 

Dewan Undangan Negeri Kelantan secara automatik akan dibubarkan pada 28 Jun, Terengganu (1 Julai), Negeri Sembilan (2 Julai), Kedah (4 Julai) dan Pulau Pinang (2 Ogos). - DagangNews.com