Pertama Digital peroleh kontrak My Digital | DagangNews Skip to main content

Pertama Digital peroleh kontrak My Digital

Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 3 Julai - Anak syarikat Pertama Digital Bhd, Dapat Vista (M) Sdn Bhd telah memperoleh kontrak empat bulan daripada My Digital ID Sdn Bhd untuk menyediakan perkhidmatan pendaftaran pengenalan digital (ID).

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Pertama berkata Dapat Vista menerima surat anugerah daripada My Digital tanpa mendedahkan nilai kontrak.

 

Tempoh kontrak bagi peruntukan di atas adalah selama empat bulan dengan pilihan untuk melanjutkan kontrak selama tiga bulan tambahan.

 

“Sekiranya My Digital ID ingin melanjutkan kontrak selepas tamat tempoh utama, surat niat (LoI) akan dikeluarkan kepada Dapat.

 

“LoI akan dikeluarkan dalam tempoh satu bulan sebelum tamat tempoh utama.

 

“Selepas itu, MIMOS dan Dapat akan mengadakan rundingan untuk menyemak skop perkhidmatan, harga/kadar serta terma dan syarat sebelum melanjutkan kontrak untuk penggal kedua.

 

“Sepanjang tempoh kontrak, MY Digital ID mempunyai hak mutlaknya untuk menamatkan kontrak sebelum tarikh tamat tempohnya,” kata Pertama.

 

 

hikayat

 

 

MyDigital ID merupakan inisiatif kerajaan mewujudkan platform di bawah Mimos Bhd, sebuah agensi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, digunakan untuk mengesahkan identiti digital seseorang. Ia tidak menggantikan MyKad tetapi berfungsi sebagai lanjutan untuk mengesahkan identiti rakyat Malaysia dalam talian.

 

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan menjadi orang pertama di Malaysia yang memiliki ID digital.

 

Tahun lepas, kerajaan memperuntukkan RM80 juta kepada Mimos untuk mempercepatkan pelaksanaan ID digital, memperkasakan transformasi digital dan membangunkan inisiatif digital khususnya melibatkan urusan dengan kerajaan.

 

Platform itu dijangka tersedia kepada orang ramai menjelang bulan ini, kata Ketua Teroka Tekno Mimos Dr Saat Shukri Embong Disember lalu, selepas ia dilancarkan kepada anggota Kabinet, penjawat awam dan penerima bantuan kerajaan seperti penerima subsidi.

 

Bulan lalu, kumpulan perkhidmatan kejuruteraan dan pembinaan PJBumi Bhd turut dianugerahkan kontrak menyediakan perkhidmatan onboarding fizikal untuk MyDigital ID.

 

Nilai kontrak ialah RM100,000 untuk 500 unit persediaan peranti titik sentuh dan RM1.70 untuk setiap onboarding fizikal yang berjaya ke MyDigital ID. - DagangNews.com