Perubahan visa Thailand, Singapura dijangka pacu perbelanjaan baharu di Malaysia sebanyak RM2.7 bilion dalam tempoh 5 tahun - Juwai IQI | DagangNews Skip to main content

Perubahan visa Thailand, Singapura dijangka pacu perbelanjaan baharu di Malaysia sebanyak RM2.7 bilion dalam tempoh 5 tahun - Juwai IQI

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 14 Ogos - Perubahan dalam program visa Thailand dan Singapura dijangka memacu perbelanjaan baharu sebanyak RM2.7 bilion kepada Malaysia selain RM7 bilion deposit bank baharu serta RM35 juta yuran permohonan kepada kerajaan dalam tempoh lima tahun akan datang. 

 

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari berkata, Thailand bakal membuat perubahan besar kepada program Elite Visa bermula 1 Oktober ini, berkemungkinan menaikkan yuran sebanyak 500%.

 

Beliau berkata, Visa Elite merupakan visa pemastautin yang sama seperti Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) dengan lebih daripada 20,000 peserta.

 

Pihaknya menganggarkan bahawa perubahan pada Visa Elite Thailand akan menarik antara 5% hingga 25% pemohon baharu ke Malaysia dan dalam tempoh lima tahun, ini boleh menghasilkan sebanyak RM7 bilion deposit baharu di bank Malaysia.

 

“Jika Thailand menukar program visanya seperti yang dijangka, mereka akan kehilangan bahagian pasaran kepada Malaysia.

 

juwai
Kashif Ansari

 

"Bagi jangka masa yang sama, ia juga boleh menyebabkan kerajaan memperoleh RM35 juta dalam yuran permohonan dan pemegang visa membelanjakan secara langsung untuk kegunaan peribadi kira-kira RM2.7 bilion," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Peraturan MM2H memerlukan pemohon yang berjaya mendepositkan sekurang-kurangnya RM1 juta di bank Malaysia dan membayar yuran RM5,000.

 

Program Elite Visa Thailand bersaing secara langsung dengan MM2H dengan kedua-duanya memberi tumpuan khusus kepada warga asing yang kaya dan berusaha untuk memaksimumkan faedah ekonomi kepada negara mereka melalui yuran dan pelaburan.

 

Kashif berkata, Singapura juga sedang menyemak semula program visanya yang dijangka memberi manfaat kepada Malaysia.

 

Beliau berkata, peraturan baharu yang berkuat kuasa pada 1 September ini akan menyukarkan syarikat untuk mengambil pekerja asing di bawah visa pas pekerjaan Singapura.

 

Singapura berharap dapat meningkatkan penyertaan pekerja tempatan dengan menyukarkan syarikat untuk mengambil pekerja asing.

 

"Purata kira-kira 180,000 orang memegang Pas Pekerjaan Singapura namun masih belum jelas sejauh mana kesan perubahan peraturan itu.

 

"Jika bilangan pas pekerjaan menurun dengan ketara, Malaysia dilihat sebagai destinasi tumpuan baharu yang lebih ideal," katanya. - DagangNews.com