KUALA LUMPUR 17 Ogos - Pestech International Berhad akan mencari penyelesaian undang-undang selepas ditamatkan kontrak sebagai kontraktor bagi projek penggerak orang automatik (APM) atau aerotrain baharu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bernilai RM743 juta.
"Pestech kini sedang berunding dengan penasihat undang-undangnya dan akan mendapatkan penyelesaian undang-undang yang sesuai di bawah kontrak.
"Penamatan projek itu dijangka menimbulkan kesan kewangan yang tidak baik kepada kumpulan," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.
Pestech berkata, anak syarikat milik penuhnya Pestech Technology Sdn. Bhd. (PTSB) menerima notis penamatan daripada Malaysia Airports (Sepang) Sdn. Bhd. (MA Sepang), sebuah unit milik penuh Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).
Kontrak untuk reka bentuk, pembekalan, pemasangan, ujian dan pentauliahan APM dan kerja-kerja berkaitan di KLIA, termasuk pembiayaan, operasi dan penyelenggaraan, yang dijadualkan sehingga 11 Februari 2034.
MA Sepang menganugerahkan kontrak bernilai RM742.95 juta itu kepada PTSB pada Disember 2021.
Projek itu terdiri daripada kerja reka bentuk dan bangunan sebanyak RM396 juta, caj pembiayaan RM104.2 juta dan perkhidmatan operasi dan penyelenggaraan sebanyak RM242.75 juta selama 10 tahun dari 2025 hingga 2034.
Kontrak aerotrain merupakan kemenangan terbesar bagi Pestech sejak penyenaraiannya di Bursa Malaysia.
Dalam pengumuman awal, MAHB berkata, kontrak itu ditamatkan berikutan kelemahan prestasi PTSB, menjejaskan pencapaian penting projek dan berisiko kelewatan untuk menyampaikan projek dalam tempoh yang ditetapkan.
“PTSB didapati melanggar kontrak dan gagal untuk membetulkan perkara yang sama dalam tempoh masa yang ditetapkan,” kata MAHB dalam satu kenyataan.
Pengendali lapangan terbang itu telah menggantung perkhidmatan aerotrainnya di KLIA sejak Mac tahun ini sehingga diberitahu kelak selepas kerap mengalami kerosakan.
MAHB dijadual memperoleh aerotrain baharu menjelang 2025 di bawah program penggantian aerotrain KLIA bernilai RM700 juta.
Pada 14 Jun lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kementerian telah mengarahkan MAHB memastikan kerja-kerja menaik taraf sistem itu disiapkan mengikut jadual atau lebih awal kerana isu aerotrain telah memberi imej buruk kepada negara.
Katanya, keputusan untuk menggantikan aerotrain itu sepatutnya dilaksanakan lebih awal. - DagangNews.com