Petronas Chemicals tumpu usaha kembangkan portfolio kepakarannya susulan prestasi kukuh FY2022 | DagangNews Skip to main content

Petronas Chemicals tumpu usaha kembangkan portfolio kepakarannya susulan prestasi kukuh FY2022

Ir. Mohd Yusri Mohamed Yusof bersama Pengerusi PCG, Datuk Ir. (Dr.) Abdul Rahim Hashim dan CFO, Mohd Azli Ishak pada AGM ke-25 di Kuala Lumpur pada 18 April 2023.
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 19 April - Petronas Chemicals Group Bhd (PetChem) menumpukan usaha mengembangkan portfolio kepakarannya selepas mencatatkan prestasi kukuh bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY2022) di tengah-tengah konflik geopolitik, turun naik pasaran dan cabaran industri umum.

 

PetChem berkata pemerolehan pentingnya Perstorp Group yang berpangkalan di Sweden menghasilkan kepelbagaian lagi penawaran produk kumpulan itu, terutama untuk portfolio bahan kimia khususnya.

 

“Syarikat itu melancarkan kemudahan pembuatan aditif minyak pelincir baharu BRB International di Belanda untuk berfungsi sebagai hab aditif minyak pelincir global dan bahan kimia untuk PetChem.

 

“Selain itu, dua projek mencapai status keputusan pelaburan akhir, iaitu pembangunan loji melamin di Gurun, Kedah, dan pengembangan loji asid 2-Ethylhexanoic (2-EHA) di Gebeng, Pahang,” katanya dalam satu kenyataan sempena mesyuarat agung tahunan ke-25 PetChem.

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PetChem Mohd Yusri Mohamed Yusof berkata penambahan Kumpulan Perstorp menandakan satu kejayaan besar, yang akan menyaksikan lebih 130 penawaran produk baharu, tujuh tapak pembuatan di seluruh dunia, dan lebih 1,500 ahli baharu masuk ke dalam keluarga PetChem.

 

"PetChem juga telah menubuhkan bahagian kimia khusus baharu untuk mengurus dan mengemudi keutamaan strategik kritikal yang menyokong aspirasi jangka panjang kumpulan dalam ruang ini," katanya.

 

PetChem juga berkata ia telah meningkatkan komitmennya ke arah kemampanan pada 2022, dan melepasi sasaran jangka pendeknya untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau Skop 1 dan Skop 2 sebanyak 100,000 tan setara karbon dioksida (tCO2e) menjelang 2024.

 

Melalui pelbagai usaha, seperti pengoptimuman proses dan peningkatan pemangkin, PetChem telah mencapai pengurangan terkumpul lebih daripada 108,000 tCO2e, katanya.

 

Selain itu, kekuatan Kumpulan Perstorp dalam penyelesaian mampan akan mempercepatkan penciptaan nilai PetChem dan perjalanan kemampanan syarikat.

 

Mohd Yusri berkata tahun ini, PetChem akan terus menyampaikan kecemerlangan operasi dan komersial, memajukan usaha kemampanan, dan meneroka peluang pertumbuhan baharu.

 

Pada FY2022, PetChem merekodkan volum pengeluaran sebanyak 10.4 juta tan setahun (tpa), dan volum jualan 8.3 juta tpa, sambil meneruskan rekod prestasinya mengenai keselamatan.

 

PetChem menutup FY2022 dengan rekod hasil RM29.0 bilion, dan keuntungan selepas cukai RM6.3 bilion. - DagangNews.com