Petronas diminta utamakan kontraktor petroleum Sarawak | DagangNews Skip to main content

Petronas diminta utamakan kontraktor petroleum Sarawak

Rahman Lariwoo menunjukkan salinan pengesahan pendaftaran Persatuan Kontraktor-Kontraktor Petroleum Sarawak di dalam sidang media di Kuching, semalam. Gambar ihsan dayakdaily

 

KUCHING 15 Sept. - Persatuan Kontraktor-Kontraktor Petroleum Sarawak dijangka mengadakan perbincangan dengan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) bagi memberikan keutamaan kepadanya dalam pemberian kontrak berkaitan industri minyak dan gas di perairan negeri ini.

Presidennya, Datuk Rahman Lariwoo berkata ,ia adalah susulan penerimaan surat daripada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) yang memberitahu ia telah meluluskan perdaftaran Persatuan Kontraktor-Kontraktor Petroleum Sarawak (SPECA).

"Surat bertarikh 19 Ogos, 2020 itu secara rasminya meluluskan pendaftaran persatuan ini dengan RoS. Sehubungan itu, kami mahu bertemu dengan pengurusan tertinggi Petronas pada November depan bagi membincangkan peluang mendapatkan kontrak untuk kontraktor minyak dan gas Sarawak,” katanya pada sidang media di sini semalam, menurut laporan Bernama.

Rahman berkata pihaknya meminta Petronas memberi keutamaan dalam pemberian kontrak berkaitan industri minyak dan gas kepada kontraktor minyak dan gas Sarawak.

“Sarawak ketika ini mengeluarkan sebanyak 60% daripada keseluruhan jumlah pengeluaran minyak dan gas di Malaysia namun kontraktor minyak dan gas Sarawak menerima manfaat yang sedikit daripada pengeluaran tersebut walaupun ia terletak perairan negeri mereka sendiri.

"Saya percaya kontraktor minyak dan gas Sarawak berkemampuan melaksanakan semua kontrak Petronas, sekiranya kita menjelajah ke seluruh dunia, anda pasti akan bertemu dengan orang Sarawak yang terlibat dalam industri minyak kerana Sarawak adalah negeri pertama yang mengeluarkan minyak," katanya.

Beliau berkata setakat ini terdapat 500 kontraktor minyak dan gas di Sarawak tetapi hanya sekitar 100 kontraktor terbabit sahaja yang aktif dalam industri minyak negara ini kerana tidak diberi peluang dalam pemberian kontrak.

Dalam pada itu, persatuan itu akan sentiasa bekerjasama dengan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) yang ditubuhkan kerajaan Sarawak bagi menjalankan kerja cari gali minyak di perairan negeri ini, katanya. - DagangNews.com