Petros boleh memainkan peranan lebih besar - PM | DagangNews Skip to main content

Petros boleh memainkan peranan lebih besar - PM

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 7 Dis. -  Petroleum Sarawak Berhad (Petros), anak syarikat milik Kerajaan Negeri Sarawak boleh memainkan peranan yang lebih besar dalam industri minyak dan gas melalui kerjasama dengan Petroliam Nasional Berhad (Petronas). 

 

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia juga bakal membuka peluang yang lebih luas kepada syarikat-syarikat di dalam industri khidmat minyak dan gas di Sarawak untuk menceburi lebih banyak bidang perniagaan berkaitan industri tersebut.

 

Pada masa sama, katanya, Petronas akan terus memainkan peranan sebagai syarikat minyak nasional dengan kuasa penuh dalam mengawal selia pembangunan industri minyak dan gas secara menyeluruh, selaras dengan undang-undang negara.

 

"Persetujuan serta permuafakatan kedua-dua pihak dalam memeterai perjanjian komersial ini sesungguhnya melambangkan komitmen Kerajaan Persekutuan untuk menyelesaikan perkara ini secara bersama dengan Kerajaan Negeri Sarawak.

 

"Ini akan membuka lembaran baharu dalam usaha merancakkan lagi pembangunan industri minyak dan gas di negeri tersebut dan membuka pelbagai peluang perniagaan serta pembangunan industri yang berkaitan di Sarawak," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Kerajaan Negeri Sarawak dan Petronas pagi tadi memeterai Perjanjian Penyelesaian Komersial dalam menyelesaikan isu berkaitan pengurusan minyak dan gas di negeri tersebut. 

 

Penyelesaian tersebut termasuk persetujuan berhubung pengenalan cukai jualan petroleum di Sarawak yang dicapai sebelum ini akan membolehkan Kerajaan Negeri Sarawak memperluaskan kutipan hasil untuk disalurkan kepada pelbagai program pembangunan demi kesejahteraan segenap lapisan rakyat. 

 

Perdana Menteri turut menyaksikan majlis perjanjian tersebut yang turut dihadiri Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg; Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz. 

 

Muhyiddin berharap penyelesaian isu berkenaan bakal membuka lembaran baharu dalam usaha mencapai Wawasan Kemakmuran Bersama 2030. 

 

"Selain itu, ia juga memastikan pembangunan wilayah yang inklusif agar nikmat pembangunan negara dapat dinikmati seluruh rakyat Malaysia secara adil dan saksama," katanya. - DagangNews.com