PGK RM2,208 dipuji Bekas Pelapor PBB | DagangNews Skip to main content

PGK RM2,208 dipuji Bekas Pelapor PBB

KUALA LUMPUR 13 Julai - Keputusan dan komitmen Malaysia menaikkan had Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) daripada RM980 kepada RM2,208 dipuji Bekas Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Berhubung Kemiskinan Tegar dan Hak Asasi Manusia, Philip Alston.

Alston dalam ciapan Twiternya baru-baru ini berkata, kerajaan Malaysia telah mengambil satu langkah berani untuk menetapkan garis kemiskinan baharu berdasarkan realiti semasa.

"Had garis kemiskinan yang dilaporkan adalah dua kali ganda berbanding sebelumnya dan keputusan kadar garis kemiskinan secara rasmi adalah 14 kali lebih tinggi berbanding tahun-tahun sebelum ini.

"Menyelaras garis kemiskinan adalah langkah utama. Namun cabarannya masa ini adalah untuk mengatasi kemiskinan secara sistematik dengan menerapkan skema perlindungan sosial yang komprehensif dari segi ketelusan data yang lebih bersesuaian dengan apa yang digunakan oleh negara-negara demokratik, jelasnya seperti dipetik Bernama.

Terdahulu, Jabatan Perangkaan mengumumkan PGK disemak kepada RM2,208 berdasarkan pengiraan yang dibuat mengikut metodologi 2019.

Semakan tersebut dibuat berdasarkan keperluan semasa yang menekankan kepada pengambilan makanan optimum dan keperluan asas bukan makanan yang lebih berkualiti selain indeks kemiskinan mutlak negara yang bertambah baik daripada 7.6%  pada 2016 kepada 5.6% pada 2019.

Manakala kadar kemiskinan tegar pula adalah 0.4% pada 2019 berbanding 0.6% pada 2016.

Dalam Laporan Survei Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas dan Laporan Survei Perbelanjaan Isi Rumah Malaysia 2019 yang diumumkan Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin  pada 10 Julai lalu turut menyatakan pendapatan isi rumah purata di bandar meningkat 3.9% setahun daripada RM7,671 kepada RM8,653.

Peningkatan sama turut dicatatkan dalam pendapatan isi rumah purata  luar bandar iaitu 0.8% lebih tinggi dengan jumlah RM5,004 pada 2019. 

Mengulas lanjut, Alston memberitahu, kadar kemiskinan baharu iaitu 5.6% daripada 0.4% dan hanya satu pertiga daripada yang dianggarkan oleh kebanyakan penganalisis bebas dan menyarankan agar tanda aras yang lebih realistik dimasukkan dalam Rancangan Malaysia ke-12. - DagangNews.com