PHB Asset Management urus Amanah Hartanah Bumiputera, mulai 1 Julai 2024 | DagangNews Skip to main content

PHB Asset Management urus Amanah Hartanah Bumiputera, mulai 1 Julai 2024

Oleh JOHARDY IBRAHIM

SHAH ALAM 1 Julai - PHB Asset Management Berhad (PHBAM), anak syarikat milik penuh Pelaburan Hartanah Berhad (PHB), dilantik sebagai pengurus baharu dana Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) menggantikan Maybank Asset Management Sdn Bhd (MAM), berkuat kuasa 1 Julai 2024.

 

Pada masa sama, PHB dan AmanahRaya Trustees Berhad akan terus menjadi penaja dan pemegang amanah dana AHB iaitu unit amanah patuh Syariah yang melabur terutamanya dalam pemunyaan benefisial hartanah komersial di lokasi utama di Malaysia.

 

Ketua Pegawai Eksekutif PHBAM, Zulkifli Ishak berkata, PHBAM mengambil kedudukan sebagai pemain industri dengan tumpuan menyediakan penyelesaian pelaburan dana yang berlandaskan hartanah.

 

Objektif utama syarikat selaras dengan mandat PHB untuk meningkatkan kemampuan dan kekayaan Bumiputera melalui penyertaan dan pemilikan hartanah komersial.

 

 

Zulkifli Ishak
                    Zulkifli Ishak

 

 

AHB telah berkembang dari RM1 bilion pada tahun 2010 kepada RM5 bilion pada tahun 2023, memberi manfaat kepada lebih daripada 80,000 pemegang unit dalam penjanaan kekayaan.

 

Dengan struktur harga tetapnya dan pengagihan pendapatan dua kali setahun dan telah dizakatkan, dana AHB sesuai untuk pelabur yang mengendalikan perancangan kewangan, termasuk simpanan pendidikan dan persaraan.

 

“PHBAM menghargai perkhidmatan dan sokongan padu MAM sejak dana AHB diperkenalkan pada 2010. Usaha sama ini terbukti melalui langganan penuh unit AHB.

 

"Selain itu, MAM bersama PHB sebagai penaja dana, telah membina kepakaran dalam mengurus portfolio hartanah komersial secara efektif untuk AHB,” katanya lagi.

 

PHBAM berusaha mencapai pengoperasion cemerlang dan menawarkan keterangkuman kewangan dengan menggabungkan teknologi maklumat bersama kepakaran dan kompetensi profesional pasaran modal kewangan di dalam strategi perniagaannya selaras dengan objektif jangka panjang PHB.

 

PHBAM menyasar untuk mempertingkatkan dana AHB dari RM5 bilion kepada RM20 bilion menjelang tahun 2030 dengan memperkenalkan perancangan pengedaran digital bagi memberi akses yang lebih luas dan mudah kepada komuniti Bumiputera yang kurang mendapat pendedahan berkenaan dana AHB.

 

PHBAM mensasarkan untuk memberi nilai tambah kepada dana AHB melalui penyediaan  perkhidmatan kewangan secara holistik dengan menyepadukan pelbagai penyelesaian kewangan, seperti takaful, hibah wakaf, dan wasiat. Inisiatif berkenaan dapat memberikan pemegang unit AHB pendekatan yang lebih berstruktur dalam penciptaan dan pengagihan kekayaan.

 

 

iktisad

 

 

Sementara itu, urus niaga dana AHB masih boleh diakses melalui cawangan Maybank, AmBank, AmBank Islamic dan Bank Islam seluruh negara serta melalui perkhidmatan perbankan atas talian Maybank2u, eksklusif untuk pelanggan Maybank.

 

PHBAM telah menerima Lesen Perkhidmatan Pasaran Modal (Capital Market Services License) daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia pada 22 April 2024 untuk pengurusan dana dan urus niaga dalam sekuriti bagi unit amanah. - DagangNews.com