KUALA TERENGGANU 7 Ogos - Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlangsung pada 12 Ogos ini memberi limpahan rezeki kepada sektor Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di enam negeri terbabit, termasuk Terengganu.
Beberapa usahawan ditemui DagangNews.com mengakui `tidak menang tangan' menguruskan tempahan perkhidmatan dan produk yang ditawarkan syarikat mereka kerana ramai ahli dan penyokong parti-parti politik mula 'berkampung' di Terengganu sejak penamaan calon 29 Julai lalu.
Pemilik Pinggan2 Katering, Mariam@Sharifah Mariam Sh Along berkata, tempahan katering dan restoran Kunyek miliknya di pusat bandar Kuala Terengganu meningkat 300% sepanjang tempoh kempen PRN kali ini.
"Kami ambil tempahan tanpa mengira latar belakang parti politik kerana yang penting adalah untuk memenuhi kehendak pelanggan mengikut citarasa mereka.
"Ada tempahan untuk majlis makan malam bersama calon, ada majlis rasmi dengan menteri kabinet dan ada juga tempahan kecil dari parti-parti politik yang lain seperti makan tengah hari bersama ahli dan penyokong mereka.
"Alhamdulillah, peningkatan ini sangat dinanti-nantikan setelah perniagaan suram kesan pandemik COVID-19 yang lalu," katanya kepada DagangNews.com.
Selain Terengganu, lima negeri lain yang akan mengadakan PRN pada Sabtu ini ialah Kelantan, Kedah, Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.
Pemilik Kedaprint Sdn Bhd, Mohd Hanif Syazwan Abd Halim berkata, syarikat miliknya itu merekodkan peningkatan tempahan 300% peratus lebih tinggi berbanding hari-hari biasa sebelum kempen bermula.
"Antara yang ditempah ialah risalah mengenai manifesto dan maklumat peribadi calon, poster kempen calon, baju T dan kain pemidang acara-acara yang dianjurkan beberapa parti politik.
"Sebelum hari penamaan calon pun, syarikat sudah mula mendapat banyak pertanyaan mengenai kadar harga percetakan yang kami tawarkan di sini.
"Alhamdulillah, sebaik sahaja penamaan calon tamat pada Sabtu lalu, tempahan mula masuk mendadak terutama untuk calon-calon di sekitar Kuala Terengganu dan Kuala Nerus," katanya ketika ditemui DagangNews.com di kilang percetakan miliknya di Paya Bunga Sentral, di sini baru-baru ini.
Seorang lagi usahawan rumah inap desa, Juliana Hassan berkata, ketika ini tempahan telah mencapai 50 peratus dan yakin ia akan semakin penuh dua atau tiga hari lagi.
"Memang ramai yang menghubungi saya untuk bertanyakan harga, tarikh kekosongan dan lokasi sebanyak 18 rumah inap desa yang saya kendalikan ini.
"Kebanyakannya dari penyokong politik negeri-negeri yang tidak terlibat dengan PRN serta pengundi-pengundi luar yang ingin balik ke kampung menunaikan tanggungjawab mereka memilih pemimpin yang akan membentuk kerajaan negeri selepas ini.
"Kami ada pelbagai jenis inap desa seperti banglo, kondominium, rumah teres setingkat, dua tingkat dan semi D bagi memenuhi keperluan pelanggan," katanya. - DagangNews.com