Ping Petroleum milik DNeX meterai kontrak PSC kluster medan kecil dengan Petronas | DagangNews Skip to main content

Ping Petroleum milik DNeX meterai kontrak PSC kluster medan kecil dengan Petronas

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Julai - Dagang NeXchange Berhad (DNeX) menerusi Ping Petroleum Sdn Bhd telah memeterai kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) kluster aset medan kecil (SFA) dengan Petroliam Nasional Bhd (Petronas).

 

PSC selama 14 tahun itu memberikan Ping Petroleum hak untuk membangun dan mengeluarkan sumber petroleum dan gas daripada tiga ladang iaitu Bubu, Bunga Tasbih, dan Enau, yang terletak kira-kira 250km dari pantai timur Semenanjung Malaysia.

 

Ping Petroleum merupakan pengendali PSC kluster SFA dengan 90% kepentingan penyertaan manakala Duta Marine Sdn Bhd memegang baki 10%.

 

Pengerusi Eksekutif DNeX, Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, pihaknya berbesar hati dianugerahkan satu lagi kontrak PSC daripada Petronas, melalui Pengurusan Petroleum Malaysia (MPM), menambah aset sedia ada iaitu kluster Meranti, A dan Abu.

 

dnex
Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir

 

Kluster yang baru dimeterai tu terletak antara 4km hingga 8km dari aset Abu Custer, memberikan potensi sinergi yang ketara untuk pembangunan kawasan.

 

Beliau berkata, pencapaian itu sejajar dengan objektif kumpulan bagi memaksimumkan hasil dan mempelbagaikan aliran hasil, memastikan pertumbuhan yang mampan dan mengukuhkan komitmen kumpulan dalam mengembangkan portfolio domestiknya.

 

Selain Malaysia, Kumpulan juga mempunyai aset minyak dan gas di United Kingdom (UK), termasuk Anasuria dan Avalon, Fyne, Pilot, Gleen dan Hutton.

 

"Kami berterima kasih dengna kepercayaan yang diberikan Petronas terhadap keupayaan kami bagi menguruskan aset ini dengan selamat.

 

"Kontrak ini mengukuhkan perkongsian kami dan meningkatkan reputasi Ping Petroleum dalam mengendalikan aset pengeluaran secara cekap dan kos efektif," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

DNeX berhasrat untuk terus mengembangkan portfolionya di UK dan Malaysia.

 

Ia bertujuan mewujudkan pembangunan yang kukuh bagi peluang pembangunan yang akan memupuk pertumbuhan berterusan dan menjamin masa depan kumpulan dalam sektor tenaga. - DagangNews.com