PKP 2.0 : Malaysia kekal unjuran KDNK 6.5-7.5% | DagangNews Skip to main content

PKP 2.0 : Malaysia kekal unjuran KDNK 6.5-7.5%

 

 

 

KUALA LUMPUR 22 Jan. - Malaysia mengekalkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara 6.5 hingga 7.5% bagi tahun ini, menurut Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz.

 

Bagaimanapun, katanya, masih terlalu awal untuk membuat penilaian terhadap unjuran tersebut terutama di sebalik pelaksanaan semula perintah kawalan pergerakan (PKP) dan pengisytiharan darurat. 

 

"Ketika ini negara masih berada di suku pertama, jadi kita kekalkan buat masa sekarang. Tetapi unjuran yang dibuat ini berisiko memandangkan apa yang berlaku semasa PKP 2.0.

 

"Ia (KDNK) dijangka pada paras lebih rendah dalam julat unjuran kami," katanya dalam temu bual dengan Bloomberg seperti dilapor The Edge.

 

Beliau berkata, kestabilan dan ketahanan dasar adalah penting bagi mengawal penularan wabak COVID-19 dan membolehkan negara berada dalam landasan pemulihan. 

 

Kerajaan juga, katanya, komited untuk menyokong perniagaan dan rakyat serta bersedia menggunakan lebih banyak sumber bagi memerangi pandemik ini jika perlu. 

 

"Impak kerugian kepada ekonomi ketika PKP 1.0 adalah sekitar RM2.4 bilion sehari tetapi kali ini, kira-kira RM700 juta sehari," katanya. 

 

Jelas Tengku Zafrul, kerajaan telah memulakan langkah-langkah bersesuaian dengan melaksanakan pakej rangsangan yang masih berjalan sehingga kini. 

 

Malah, Belanjawan 2021 sudah diluluskan dan Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) diumumkan minggu ini bagi menangani impak terhadap ekonomi. 

 

Dalam sesi itu, beliau juga menjelaskan kerajaan tidak bercadang untuk meningkatkan had hutang buat masa ini memandangkan situasi masih terlalu awal untuk membuat sebarang semakan. 

 

Katanya, kerajaan akan terus mengunjurkan paras hutang berada di bawah 60% seperti yang ditetapkan pada peringkat awal. 

 

"Dari segi pakej Permai, suntikan fiskal adalah kira-kira RM15 bilion, yang mana sebahagian besar adalah daripada peruntukan di bawah Belanjawan 2021," katanya. 

 

Permai yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin minggu ini bertujuan menambah baik inisiatif sedia ada yang masih berterusan dan mempercepatkan pelaksanaan inisiatif yang berkaitan.

 

Sebanyak 22 inisiatif akan dilaksanakan di bawah Permai yang berteraskan tiga matlamat utama iaitu memerangi wabak COVID-19, memelihara kebajikan rakyat dan menyokong kelangsungan perniagaan. - DagangNews.com