PKP terpaksa dikuatkuasakan semula jika kes COVID-19 naik mendadak, kata PM | DagangNews Skip to main content

PKP terpaksa dikuatkuasakan semula jika kes COVID-19 naik mendadak, kata PM

 

PUTRAJAYA 20 Julai - Kerajaan memberi peringatan jika berlaku peningkatan kes COVID-19 secara mendadak di Malaysia, kerajaan terpaksa menguatkuasakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan impaknya terhadap ekonomi amat besar.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata,  penutupan semula sektor-sektor ekonomi boleh menyebabkan negara kehilangan sekurang-kurangnya RM2 billion sehari dan secara langsung menyebabkan kehilangan sumber pendapatan bagi jutaan pekerja di Malaysia.

Katanya, ia juga akan menidakkan usaha-usaha Kerajaan, sektor swasta dan NGO di bawah Pakej PRIHATIN dan PENJANA yang bertujuan untuk memulih dan menjana semula ekonomi.

Menurutnya, harus diingat bahawa Kerajaan sudahpun mengumumkan pakej rangsangan ekonomi PRIHATIN, PRIHATIN Tambahan dan PENJANA yang keseluruhannya berjumlah RM295 bilion untuk kesejahteraan rakyat dan kelangsungan perniagaan dalam tempoh yang sukar ini.

Lebih 2.75 juta pekerjaan telah berjaya diselamatkan di bawah program Subsidi Upah dan Program Pengekalan Pekerja. Selain itu, lebih 800,000 perniagaan, termasuk perniagaan mikro dan PKS, telah menerima manfaat daripada pakej-pakej rangsangan ini.

Pakej-pakej PRIHATIN dan PENJANA dianggarkan menyumbang lebih 3% kepada pertumbuhan KDNK negara pada tahun ini

``Sekiranya PKP terpaksa dikuatkuasakan semula, antara impaknya termasuklah unjuran pertumbuhan KDNK yang dijangka pada tahun 2021 mungkin tidak akan tercapai.

``Perniagaan terpaksa ditutup semula dan kadar pengangguran di tahap 5.3 peratus bagi bulan Mei 2020 boleh meningkat secara mendadak. Ini adalah suatu keadaan yang mesti kita elakkan.

``Jadi, apa yang mesti kita buat? Seperti yang saya telah sebutkan sebelum ini, kejayaan kita memerangi COVID-19 dalam fasa pemulihan ini adalah bergantung kepada diri kita sendiri. Ia bergantung kepada kesedaran kita, sikap kita dan amalan kita.

``Amalan kebiasaan baharu atau new normal mesti kita teruskan. Jangan kerana kes-kes COVID-19 semakin berkurangan, kita tidak lagi memakai pelitup muka di tempat awam. Pakai lah. Jangan tak pakai.

``Penjarakan sosial juga mesti diteruskan. Pastikan jarak anda sekurangkurangnya satu meter dari orang lain. Elak tempat yang sesak dan sempit. Sentiasa beringat untuk elakkan sentuhan badan,'' kata Perdana Menteri semasa menyampaikan perkembangan terkini PKP Pemulihan (PKPP) yang disiar secara langsung melalui televisyen di sini hari ini. - DagangNews.com