PKPB: Kemeseletan ekonomi berlarutan hingga 4Q20, ramal CGS-CIMB | DagangNews Skip to main content

PKPB: Kemeseletan ekonomi berlarutan hingga 4Q20, ramal CGS-CIMB

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 11 Nov. - Harapan untuk ekonomi bertambah baik menjelang suku keempat tahun ini (4Q20) meleset apabila Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan bermula 4 Oktober sehingga 9 Disember, kata CGS-CIMB. 

 

Pemulihan lemah berturut-turut pada penghujung tahun 2020 merencatkan pertumbuhan keadaan pasaran buruh, setelah kadar pengangguran jatuh daripada paras tertinggi, 5.3% pada Mei kepada 4.6% pada September baru-baru ini. 

 

“Kami menjangkakan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menguncup sehingga 3.5% berbanding tahun lalu pada 3Q20 dan -1.0% pada 4Q20.

 

“Ini sekali gus merendahkan ramalan KDNK sepanjang tahun daripada -4.4% kepada -5.0%, ekoran lanjutan berturut-turut tempoh masa serta perluasan PKPB 2.0 berbanding ramalan awal yang dijangka berakhir pada 28 Oktober. 

 

“Kami mengekalkan jangkaan lonjakan 7.5% KDNK pada 2021 didorong oleh sokongan fiskal dan dasar monetari serta ramalan aktiviti ekonomi kembali normal dan kelonggaran penjarakan sosial pada pertengahan 2021, di mana didukung oleh perkembangan penemuan vaksin COVID-19 baru-baru ini,” kata CGS-CIMB dalam nota kajiannya. 

 

Data baru-baru ini menunjukkan KDNK Malaysia dijangka merudum pada 3Q20. 

 

Tidak seperti sektor pembuatan, indeks perkhidmatan berterusan menguncup pada suku terakhir, dengan kadar yang perlahan memandangkan penjarakan sosial dan penutupan sempadan menjejaskan sektor hotel, pengangkutan, makanan dan minuman, harta tanah serta seni, hiburan dan rekreasi.

 

Tambah CGS-CIMB, jualan kenderaan dan kewangan bagaimanapun mencatatkan pertumbuhan, manakala pembinaan dalam runcit dan borong menguncup teruk. 

 

“Kemerosotan dalam sektor pembinaan mendatar kepada -13.1% berbanding tahun lalu pada 3Q20 ketika sebahagian projek dijalankan semula dengan prosedur operasi standard yang ketat,” kata CGS-CIMB. - DagangNews.com